Wednesday, October 27, 2010

Kemenangan bukan tekanan




LUPAKAN seketika kata-kata sinis segelintir pihak yang mengaitkan perjalanan Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam, Selangor malam Ahad lalu ibarat menonton sebuah 'sitkom'. Ironinya, ada babak lain lebih menjentik emosi berbanding mengulas secara total anugerah berprestij itu.

Adegan yang paling tidak dapat dilupakan, saat tumpahnya air mata anak bujang penerbit dan pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam iaitu Syamsul. Ia bukan dibuat-buat. Bahkan,jauh sekali dia menjiwai watak dalam lakonan. Itu tangisan syukurnya usai deklarasi anugerah Pengarah Terbaik untuk filem Evolusi KL Drift 2 dibacakan.

Dalam usia cukup mentah, dia sendiri tidak menyangka mampu berdiri di atas pentas gah FFM sambil menerima trofi keramat dambaan sang pengarah lain. Namun, itu yang dikatakan rezeki menyebelahi diri. Tidak mengambil waktu panjang, siapa sangka, Syamsul kini antara individu terbaik di gelanggang pengarahan seni tanah air.

Dicalonkan bersama sutradara lain lebih berpengalaman - Afdlin Shauki menerusi filem Estet, Ahmad Idham (Adnan Sempit), Farid Kamil (V3: Samseng Jalanan) dan Jason Chong (Belukar), sudah pasti membenihkan kebimbangan di hati Syamsul. Itu dia tidak boleh menafikan kredibiliti setiap seorang daripada senarai tersebut.

Maka, tidak hairanlah apabila manik-manik jernih mengiringi Syamsul tatkala mula bangun dari tempat duduknya, menuju ke pentas FFM23. Menerima trofi dan wang tunai sebanyak RM50,000 disampaikan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, jejaka berusia 26 tahun itu larut dalam emosinya.

Membenarkan audiens dalam dewan termasuk satu Malaysia menyaksikan secara percuma dirinya menangisi kemenangan itu, ada sebab tiba-tiba Syamsul tidak berkuasa membendung variasi rasanya. Satu persatu dimuntahkan kepada pihak media selepas berakhirnya pesta memberi pengiktirafan kepada karyawan seni tempatan itu.

"Pada saya, kita sekadar manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Tetapi, bergantung kepada setiap insan ini bagaimana mereka memilih jalan masing-masing.

Terus terang, saya sebak kerana Allah sentiasa mempermudahkan apa yang dilakukan selama ini. Biar buat kerja saat akhir, Dia tetap membantu saya.


KEJAYAAN yang diraih semakin menyedarkan Syamsul betapa segalanya yang berlaku dalam hidupnya adalah ketentuan Tuhan. Syamsul menjulang Trofi Pengarah Terbaik FFM23 yang menjadi miliknya sambil diperhatikan Rais.


"Dengan masa berjalan begitu pantas, tanpa disedari, Tuhan sentiasa berada di sisi membantu terutama dalam soal pengarahan dan penggambaran filem-filem saya. Kerana itu, saya anggap kemenangan ini cukup bernilai sekali gus hendak berusaha lebih keras selepas ini," katanya dalam nada perlahan sambil melaungkan kesyukuran.

Graduan Diploma Penyiaran dari Malaysia Institute Of Integrative Media (MIIM) itu sama sekali tidak menyangka dia mampu berada pada tahap ini.

Bukan calang-calang untuknya membawa pulang Anugerah Pengarah Terbaik andai tidak menerima sokongan padu daripada bapa dan keluarganya yang banyak menyokong selama ini.

"Sejujurnya, saya pernah menyasarkan diri untuk raih trofi ini selepas terlibat secara serius dalam pengarahan beberapa tahun lalu. Tetapi, tidak sangka seawal ini pihak juri FFM23 mempercayai bakat saya. Lantaran itu, saya mengucapkan ribuan terima kasih kerana memilih diri ini sebagai pengarah terbaik FFM23," ungkap Syamsul.

Bagai kebiasaan, FFM tidak pernah sunyi daripada sebarang kontroversi. Atau dalam bahasa mudah, ada suara-suara sumbang mempersoalkan kemenangan pihak tertentu. Ia sudah berlarutan sejak bertahun lamanya. Barangkali, situasi sama akan dihadapkan kepada Syamsul. Justeru, apakah dia bersedia mendepani atmosfera itu?

Jawabnya: "Saya mengarah filem Evolusi KL Drift 2 yang terang-terangan bukan bergenre seni. Ia bagaimanapun berkisar sukan menyerapkan gaya pemanduan dengan beberapa teknik dan tindak balas logikal. Jadi, ia terbukti sudah bahawa juri dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mula bersikap terbuka.

"Kalau ada sesetengah pihak hendak mempertikaikan kemenangan ini, saya tidak mampu berbuat apa-apa kecuali membiarkan mereka terus bercakap. Lagipun, tidak mudah kita mahu memuaskan hati setiap orang di sekeliling. Paling pasti, saya tidak pernah mahu berhenti untuk terus berkarya selepas ini. Ini bidang yang saya cintai."

Ramal Mamat menang

Sengaja menjolok pertanyaan saingan untuk kategori sama, tidak mencuri waktu panjang, Syamsul terus melontarkan nama Mamat Khalid sebagai pembawa pulang trofi Pengarah Terbaik menerusi Estet. Dia punya jawapan relevan menguntai pengkarya tersohor itu di kotak fikirnya menaiki pentas FFM23 menerima anugerah itu.


SYAMSUL bersama rakan artis, Zed Zaidi yang turut memeriahkan Festival Filem Malaysia kali ini.


"Disebabkan dia matang dan memiliki banyak pengalaman, ia menyebabkan saya sebagai pengarah baru tidak dapat membaca setiap ideanya. Kalau hendak membandingkan saya dan Farid yang masih muda, sudah tentu kami mampu mengagak setiap bersarang dalam isi hati masing-masing. Ini disebabkan usia kami tidak jauh beza.

"Keunikan tersendiri yang ada kepada Mamat, membuatkan saya cukup menghormati dan mengidolakan hasil karyanya. Dia cukup hebat," luah Syamsul yang menjadikan bapanya dan Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee sebagai ikon untuk kelangsungan dirinya memperjudikan nasib bersama himpunan pengarah sedia ada di negara ini.

Selepas dianugerahkan Pengarah Terbaik FFM23, ia sedikit sebanyak merobah direktori seni Syamsul. Di laluan depannya, pasti ada beberapa halangan lebih besar bakal menunggu. Ia termasuk jangkaan peminat terhadap mutu garapan dan persembahannya dalam filem. Mengharapkan yang terbaik, itu sudah seharusnya diperlukan.

Menjawab persoalan sama, Syamsul tanpa berselindung memberitahu, dia tidak mampu melarikan diri daripada melewati hakikat itu. Namun, dia enggan menjadikan kemenangan pada FFM23 menghidangkan tekanan buat dirinya. Sebagai manusia biasa, dia ingin membiarkan waktu berjalan dengan sendiri. Selebihnya, dia bertawakal.

"Andai kata tidak menang sekalipun pada malam ini, saya tetap akan buat yang terbaik. Saya anggap diri ini berkhidmat kepada masyarakat. Jadi, sudah menjadi tanggungjawab saya untuk menghasilkan karya berkualiti. Saya mahu setiap filem dihasilkan akan digemari penonton. Dan waktu yang sama, ia juga diiktiraf oleh juri profesional.

"Di sini, ingin diberitahu, saya tidak akan jadikan kemenangan ini sebagai beban sekali gus menyekat kebebasan saya untuk berkarya," tambah Syamsul yang menganggap telah sampai waktunya dia lebih produktif sambil melangkah setapak ke depan dengan membikin empat buah filem setahun berbanding tiga filem setahun sebelum ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: