KUALA LUMPUR: Penyanyi antarabangsa, Leona Lewis dan kumpulan pop rock dari Australia, The Veronicas akan menjayakan persembahan sempena pelancaran model terbaru Volkswagen di sepanjang jalan Changkat Bukit Bintang, Sabtu (hari ini) bermula pukul 7 malam.
Ia sebagai tanda rasminya model kereta Volkswagen Polo 1.2l 105PS, The Golf dan Scirocco 1.4l 160PS.
Selain dua artis antarabangsa itu, persembahan secara percuma tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan artis tempatan termasuklah Liyana Fizi, Twilight Action Girl, Arabyrd, Bittersweet, Atilia, Kyoto Protocol dan Tenderfist.
Menurut The Veronicas yang dianggotai oleh kembar berusia 24 tahun, Lisa dan Jessica Origliasso, mereka akan menjanjikan persembahan yang gempak untuk para penonton.
“Kami akan menyanyikan lagu-lagu baru pada persembahan esok dan pastinya akan menghiburkan para penonton yang hadir.
“Selain itu, kami tidak sabar untuk berkongsi pentas dengan Leona Lewis kerana dia mempunyai bakat yang sangat mengagumkan,” kata Lisa sewaktu sidang media di Wisma Volkswagen, Bangsar, di sini, Jumaat.
Lisa dan Jessica tiba di ibu kota sehari lebih awal berbanding Leona Lewis.
Sementara itu, Pengarah Urusan Volkswagen Group Malaysia (VGM), Andreas Prinz berkata beliau sangat gembira dengan acara seperti ini dan percaya ia akan menjadi pelancaran jalanan yang paling besar di Malaysia.
“Apa yang paling penting adalah untuk kami memperkenalkan model terbaru Volkswagen. Kami berharap ramai orang di Kuala Lumpur akan datang ke majlis pelancaran ini.
“Kami juga berbangga untuk membawakan persembahan daripada Leona Lewis, The Veronicas dan artis tempatan,” kata Prinz.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: