|
|
BAYANGKAN betapa meriahnya suasana apabila pereka fesyen terkenal dan sebuah hospital swasta terunggul berpadu tenaga untuk mengutip dana bagi membantu wanita dengan barah payu dara.
Sebanyak 3,000 beg membeli-belah kitar semula yang direka khas oleh pereka terkenal, Bill Keith, sibuk direbut orang ramai. Semua itu demi menyokong kempen Pink Oktober anjuran Hospital Gleneagles Kuala Lumpur.
Turut bersama dalam menjayakan usaha itu ialah Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Berhad (Great Eastern). Syarikat insurans itu merupakan penaja utama untuk kempen unik tersebut yang bermatlamat mengumpul RM75,000 untuk disalurkan kepada Pertubuhan Kebajikan Kanser Payu Dara Malaysia (BCWA).
"Gleneagles Kuala Lumpur amat teruja melancarkan kempen Pink Oktober yang bertemakan Beramal Sambil Bergaya," kata Ketua Pegawai Eksekutif hospital berkenaan, Amir Firdaus Abdullah.
Tambah beliau, hospital itu komited untuk sama-sama melibatkan masyarakat umum dalam usaha menghulurkan bantuan kepada pesakit kanser payu dara yang tidak mempunyai dana secukupnya bagi menampung kos rawatan.
"Melalui kempen seperti ini, kami berharap untuk mengumpul dana yang dapat membantu menyelamatkan banyak nyawa.
"Kempen ini adalah antara beberapa kempen tanggungjawab korporat sosial (CSR) yang telah diterajui Gleneagles Kuala Lumpur sempena bulan Pink Oktober setiap tahun," katanya.
Pada tahun lalu, misalnya, hospital swasta itu telah mengutip dana sebanyak RM50,000 melalui penjualan skarf merah jambu rekaan khas pereka fesyen terkenal, Zang Toi.
|
|
Menurutnya, kempen tersebut bertujuan menyebarkan mesej bahawa pengesanan awal mampu menyelamatkan nyawa dan ia bukan hanya tanggungjawab kaum wanita untuk mengambil langkah pencegahan di peringkat awal.
Kaum lelaki juga perlu memainkan peranan dengan menggalakkan pasangan mereka melakukan pemeriksaan rutin sendiri (BSE) serta pemeriksaan ultrasound atau mamografi tahunan.
Bill Keith juga berharap agar masyarakat umum akan menyokong kempen tersebut.
Kebiasaannya produk rekaan khas seperti pakaian, beg dan kasut yang eksklusif adalah agak mahal.
Namun, melalui kempen Beramal Sambil Bergaya, sesiapa sahaja boleh menyumbang dan pada masa yang sama membeli beg rekaan khas pada harga RM25.
"Kami seikhlasnya berharap orang ramai akan menyokong usaha kami untuk mengumpul dana agar jumlah terkumpulnya dapat disalurkan bagi membantu lebih ramai wanita yang menghidap barah payu dara," katanya.
Beg Pink Couture yang berukuran 48.3 x 35.6 sentimeter itu diperbuat daripada kanvas yang boleh dikitar semula.
Ketua dan Naib Presiden Kanan Jabatan Modal Insan Great Eastern, Nancy Lim amat berbesar hati untuk menyokong Gleneagles Kuala Lumpur dalam inisiatif amal tersebut.
"Kempen ini merupakan salah satu dari beberapa inisiatif Great Eastern untuk menyumbang kepada masyarakat.
"Di Great Eastern, kami amat faham pada kecanggihan teknologi dalam bidang perubatan masa kini. Dengan kesedaran mengenai pengesanan awal dan pemeriksaan kerap, tidak mustahil penyakit kritikal seperti barah payu dara boleh dirawat sejak peringkat awal," ujarnya.
Presiden BCWA, Ranjit Kaur pula memuji inisiatif yang diambil Gleneagles Kuala Lumpur dan rakan penaja lain dalam menyokong usaha membantu pesakit kanser payu dara dan meningkatkan kesedaran mengenainya.
"Kami amat gembira melihat organisasi seperti Gleneagles Kuala Lumpur dan Great Eastern tampil untuk menyokong usaha membantu pesakit kanser payu dara melalui penjualan beg rekaan khas ini.
"Sebanyak 10 peratus daripada jumlah kutipan terbabit akan disalurkan bagi menyokong program prostesis untuk pesakit yang memerlukan," katanya.
Beg Pink Couture itu dilancarkan oleh Profesor Datuk Jimmy Choo. Turut hadir ialah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim; pemilik Pusat Mutiara Rafflesia, Winnie Sin dan para selebriti tanah air.
Orang ramai boleh mendapatkan beg Pink Couture di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur dan Menara Great Eastern.
Untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti-aktiviti yang akan dianjurkan oleh Gleneagles Kuala Lumpur bagi kempen Pink Oktober, layari www.gleneagleskl.com.my.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: