Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Ini merupakan minggu terakhir kita semua menyambut Syawal dan saya lihat masih ramai yang berlumba-lumba mengadakan rumah terbuka, termasuklah akhbar mStar sendiri.
Sehingga semalam, jemputan masih lagi saya terima dan penuhi hinggakan dah agak naik kembang tekak tatkala terlintas bayangan lemang dan rendang di kepala.
Tapi pada saya tujuannya bukanlah nak menghabiskan segala hidangan di meja, cuma untuk mengeratkan lagi silaturahim yang terjalin selain meluaskan rangkaian kenalan yang mungkin ditemui ketika bertandang dan berborak.
Saya sendiri pun berasa seronok dapat berkenalan dengan ramai muka baru padatahun ini di majlis-majlis sedemikian. Semoga persahabatan yang baru terjalin akan terus mekar, insya-Allah.
Program Malaysian Kitchen
Minggu lalu saya ada menyentuh sedikit mengenai program-program yang dijalankan oleh agensi-agensi kerajaan dalam memartabatkan seni kulinari Malaysia di mata dunia.
Saya agak bertuah kerana sering kali terpilih untuk turut sama terlibat setiap kali pihak Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) mahupun Kementerian Pelancongan Malaysia membawa masuk pelbagai pihak, khususnya para pengkritik makanan serta wartawan dari luar negara untuk merasai sendiri pengalaman menjamu selera di Malaysia.
Mungkin ada yang tertanya-tanya apakah manfaatnya membawa masuk wartawan dari luar negara yang perbelanjaannya ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan? Jawapan saya mudah saja.
Jika hendak mempromosikan makanan Malaysia di sana, penglibatan mereka secara terus haruslah ada. Dengan memberikan “first hand experience” kepada segelintir mereka yang berpengaruh, impaknya akan lebih dirasai oleh semua dan pelaburan wang ringgit yang dikeluarkan akan mendatangkan hasil yang berlipat ganda, Insya-Allah.
Lagi pula, publisiti melalui tulisan di akhbar oleh mereka yang pernah datang ke sini akan mempunyai corak yang berbeza dan lebih meyakinkan.
Kekenyangan di Pasar Payang
Pada hari Selasa lalu, seramai tujuh orang wartawan dari London telah diterbangkan khas ke sini oleh Matrade di bawah seliaan pegawai bernama Razida Hanim Abdul Razak sempena program Malaysian Kitchen yang kini telah menampakkan hasilnya.
Antara bandar-bandar untuk mereka lawati adalah Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Melaka.
Ketiga-tiga tempat ini adalah pilihan mereka sendiri setelah membuat sedikit penyelidikan melalui internet dan juga sumber-sumber lain.
Mungkin ada sesuatu yang begitu unik dan berjaya menarik perhatian mereka agaknya.
Memandangkan saya berasal dari Kuala Terengganu, peluang untuk membawa mereka dan menunjukkan keindahan negeri saya itu tidak mungkin saya lepaskan.
Saya begitu teruja untuk membawa mereka atau sesiapa saja bagi menikmati keunikan serta kelazatan pelbagai juadah yang kebanyakannya berasaskan ikan di negeri pesisir pantai itu.
Inilah kebanggaan saya kerana pasti mereka bukan saja akan terpesona dengan kecantikan Pantai Batu Buruk yang berpasir putih bersih itu, malah mungkin mengingau teringatkan keropok lekor Kak Yah Losong, rojak betik, ceranang, laksam, pulut lepa dan seribu satu macam lagi juadah tradisi Pantai Timur yang lazat-lazat.
Menaip perkataan itu sudah membuatkan air liur saya meleleh! Adussss...
Kami mulakan penerokaan di Pasar Payang Kuala Terengganu dengan ‘menyerang’ sebuah gerai menjual pelbagai jenis kuih-kuih asli Terengganu.
Pengusaha gerai ini sememangnya terkenal di kalangan penduduk Kuala Terengganu dengan jualan kuih-muih mereka yang pelbagai semenjak dulu lagi.
Tambahan pula, seluruh keluarga mereka yang mempunyai muka ‘sepesen’ terlibat sama.
Yang paling saya kagumi ialah pengetahuan mereka mengenai asal-usul sesuatu kuih yang mendalam. Ajaklah bersembang mengenai kuih apa pun, pasti mereka ada cerita menarik mengenai susur galurnya.
Di situ saya berpeluang memperkenalkan beberapa kuih yang menjadi kegemaran semenjak kecil seperti paung goreng, karipap inti ikan, nasi himpit bersambal tahi minyak, akok berkedut, hasidah dan beberapa lagi kepada mereka.
Walaupun masih pening-pening lalat dek penangan baru turun dari kapal terbang setelah dua belas jam di awan dari London, mereka ternyata teruja dalam melihatkan keadaan Pasar Payang kami yang agak ‘horror’ bagi sesetengah pihak.
Dalam suasana biasa pasar di pagi hari yang agak hingar-bingar dengan suara orang tawar-menawar, ditambah pula dengan mata beberapa orang makcik yang hampir terkeluar dari ‘soketnya’ melihatkan baju paras paha tanpa lengan tetamu luar negara itu.
Kembang kempis
Sempat juga saya menyuapkan tapai pulut yang dibungkus dalam daun ketapang ke mulut setiap seorang. Serta-merta muka dan telinga mereka merah samar bak udang kena BBQ dek penangan tapai pulut Terengganu.
Ada yang suka dan ada yang tidak berapa gemarkan tekstur serta rasa nasi pulutnya yang agak masam-masam manis.
Kembang-kempis jugalah hidung mereka menghembuskan nafas sambil menelan tapai tu.
Seterusnya saya membawa mereka ke gerai buah-buahan tempatan pula. Dah rezeki mereka agaknya berkebetulan dengan musim buah duku, langsat, dokong, rambutan, manggis dan sebagainya.
Sampaikan naik buncit perut kami pagi-pagi buta menyental manggis di tepi bakul sampah.
Ternyata mereka agak terpegun dengan keputihan isi buah manggis yang sememangnya manis itu. Menariknya, mereka dapati isi buah duku dan langsat seakan-akan rasa buah laici dari Taiwan dan China. Ada benarnya di situ.
Biasanya lidah ‘orang putih’ ni agak sensitif dan ini amat mengagumkan saya sendiri.
Kalau orang kita pakai bedal aja apa yang ada di depan mata, tapi mereka lazimnya lebih peka dengan cita rasa sesuatu bahan makanan dan berupaya membezakan atau menyamakannya dengan sesuatu yang pernah mereka jamah.
Budu penawar rindu
Kedatangan mereka ke Terengganu tidak akan sempurna jika tidak diperkenalkandengan ‘cicahan keramat’ rakyat sejati negeri itu.
Untuk itu saya perkenalkan mereka dengan berbagai jenis budu yang tersusun indah di atas para-para pasar.
Naik juling mata mereka tatkala mencium ‘haruman kasturi’ yang keluar dari botolnya sebaik saja dibuka.
Namun dengan gigih sampai berbuih mulut saya berkempen bagi pihak Makcik Budu tentang keenakannya jika diberikan beberapa titis perahan limau nipis, hirisan bawang merah serta tenyehkan cabai burung, lantas di cicah dengan ikan kembung panggang tawar mahupun yang digoreng garam kunyit. Ulam pucuk daun gajus, kacang botol dan timun pun minta agar jangan dilupakan.
Kempen punya kempen, tiga dari mereka pulang menggelek sebotol budu seorang sebagai pengubat rindu bila pulang ke London nanti.
Gayanya tak ubah seperti mereka baru menang trofi Ms World/Universe. Berjaya juga kempen ‘Belilah Budu Terengganu’ saya nampaknya.
Selain dari itu, banyak lagi tempat-tempat menarik yang sempat saya bawa mereka.
Antaranya Taman Tamadun Islam Terengganu (seronoknya hinggakan salah seorang dari mereka ‘terkena sawan unta’ ketika sedang bersiar-siar dengan bot), Terengganu Water Front yang sedang giat disiapkan, Kampung Cinam dan sebagainya.
Mereka juga diberi peluang untuk mendekati dan mengenali industri pembuatan keropok lekor di kampung Losong.
Langsai dua pinggan keropok lekor goreng dibedal mereka. Lapar kembali agaknya setelah diarak ke sana-ke mari.
Bengkel masakan Havoc di Silverspoon International College
Sekembalinya mereka dari Kota Kinabalu serta Melaka setelah beberapa hari di sana, dengan bangganya saya menjemput mereka ke kolej saya yang terletak di One Puchong Business Park untuk sesi ‘bergelumang’ dengan rempah-ratus Malaysia.
Antara menu yang menjadi pilihan mereka untuk dicuba adalah rojak buah eksotika, sup ekor, nasi minyak hujan panas, acar rampai Bukit Puteri, dalca sayuran bersama daging tetel, pengat pisang tanduk serta sirap bandung Johor.
Mereka juga ringan mulut apabila membuat permintaan istimewa untuk belajar membuat rendang daging. Pada mulanya saya agak terkejut juga tapi rupa-rupanya mereka sudah pun menikmatinya ketika di Melaka sehari sebelumnya.
Maka bergelumanglah semuanya hinggakan biji sagu pun sampai naik ke kening jadinya.
Apa pun, saya pasti mereka pulang dengan membawa seribu kenangan yang manis belaka dan akan berupaya menguarkan-uarkan keunikan, keenakan serta kepelbagaian makanan dan budaya kita di mata dunia. Kita jumpa lagi minggu depan. Wassalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: