Filem kontroversi, Dua Alam telahpun ditayangkan pada malam Perasmian Festival Filem Malaysia ke-23 baru-baru ini. Pastinya panggung penuh sesak dengan hadirin yang ingin melihat kehebatan filem yang diuar-uarkan mampu mengutip RM40 juta oleh penerbitnya. Namun yang kedengaran hanya sorakan dan sindiran sepanjang filem ditayangkan. Lebih-lebih lagi apabila mata asyik dihidangkan dengan adegan ranjang dan flashback . Sorakan makin galak apabila tiba-tiba dihidangkan dengan klip video dipertengahan filem. Bukan menidakkan kehebatan filem terbitan Datuk Dr. Che Rozmey Che Din (DDR), namun rata-rata yang menonton hanya memperlekehkannya. Nama besar seperti Aaron Aziz dilihat tidak membantu menjadikannya lebih baik. Hanya mampu mengukir senyuman, nyata sukar sekali bagi Aaron meluahkan perasaannya. Menghela nafas panjang dan menyambung kembali pertanyaan pihak media.
"Pada permulaan dapat skrip, saya terima sebab jalan ceritanya menarik dan pertama kali saya ditawarkan watak uztaz. Tak kisah jika orang perlekehkan Dua Alam kerana apa yang penting saya sudah melakukan yang terbaik untuk watak yang diberi... dan jujur saya puas hati dengan watak yang dibawa.
"Watak saya tak banyak dialog dan hanya ekspresi muka diperlukan. Dr Rozmey ingin membuat perubahan dalam industri menerusi filemnya, sebab itu Dua Alam banyak bermain dengan muzik dan efek sebagai elemen utama," komen Aaron ketika ditemui pada sidang media Teater Natrah di Istana Budaya.
Tak menyanyi dalam Natrah
Antara muka baru yang ditampilkan dalam pementasan kedua Teater Natrah, Aaron tidak dapat menyembunyikan keterujaannya untuk bekerja di bawah pengarah tersohor, Eirma Fatima. Pertama kali didedahkan dengan dunia teater bukanlah masalah baginya, Aaron tahu apa yang dilakukannya.
"Walaupun ini kali pertama saya berlakon teater namun saya yakin mampu sampaikannya dengan berkesan. Saya pernah bekerjasama dengan Eirma dan tahu apa yang dimahukannya.
"Saya pernah ditawarkan untuk Muzikal Tun Mahathir sebelum ini tapi saya tak cukup bersedia melakukannya. Namun tawaran untuk Natrah memang sukar untuk dilepaskan. Sudah ramai yang sarankan saya cuba masuk dunia teater dan inilah masanya.
"Apa yang penting saya tak perlu menyanyi dan menari, sebab itu saya terima," katanya melakonkan watak Burhanudin Helmi. |
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: