Sunday, October 24, 2010

ATM rai saudara baru


Ahmad Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi (dua dari kiri) menyampaikan ucapan sambil diperhatikan oleh Ketua Staf Am, Brig. Jen. Datuk Fadzil Mokhtar (duduk kiri sekali) pada majlis penutup Khatam Al-Quran dan Meraikan Saudara Baru 2010 di Masjid Kem Sungai Besi, baru-baru ini.


SEPANJANG Ramadan lalu, pelbagai aktiviti mengimarahkan bulan mulia tersebut dilakukan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Selain majlis khatam al-Quran oleh anggota-anggota ATM serta majlis berbuka puasa dan solat tarawikh, pasukan keselamatan itu juga tidak lupa dengan ‘saudara baru’ yang terdiri daripada anggota-anggota ATM yang baru sahaja memeluk agama Islam dan kali pertama berpuasa terutamanya pada bulan mulia tersebut.

Sehubungan itu, menjelang Aidilfitri lalu, ATM telah mengadakan Majlis Penutup Khatam al-Quran dan Meraikan Saudara Baru bagi meraikan 25 orang saudara baru yang terdiri daripada anggota Tentera Darat (TD).

Majlis tersebut diserikan lagi dengan penyertaan Panglima Medan TD, Leftenan Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi yang bersama-sama meraikan ‘kehadiran’ saudara baru dalam ATM.

Ahmad Hasbullah berkata, majlis tersebut diadakan bertujuan menyemarakkan ibadat di bulan Ramadan serta menyuntik semangat kerjasama di kalangan warga ATM terutamanya anggota TD.

Katanya, majlis yang diadakan setiap tahun itu juga adalah untuk membantu anggota TD yang baru memeluk Islam menyelami dengan lebih mendalam tentang agama baru mereka itu.

“Saya berharap amalan membaca serta khatam al-Quran ini akan diteruskan walaupun selepas tamat bulan Ramadan kerana itu merupakan objektif utama kami menganjurkan program seperti ini.

“Majlis seperti ini juga amat penting untuk membantu saudara baru kita menambah kefahaman serta keyakinan mereka tentang agama Islam,’’ katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis penutupan tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Panglima Gerup Artileri Pertahanan Udara, Mejar Jeneral Datuk Hussain Md. Tahak.

Hasbullah berharap anggota-anggota TD yang baru memeluk Islam akan dapat menjadi contoh kepada rakan-rakan yang lain dengan menjadikan ajaran Islam sebagai pegangan hidup mereka.

Katanya, ia merupakan sebahagian daripada langkah yang perlu dilakukan untuk melahirkan anggota TD yang bukan sahaja cemerlang dalam menjalankan tugas malah cemerlang dalam aspek spiritual.

Sementara itu, menurut seorang saudara baru TD, Lans Koperal Siti Nurul Syakira Abdullah, 28, dia berasa sangat tenang selepas memeluk Islam.

“Sebelum ini saya memang berminat dengan agama Islam dan di atas kehendak sendiri bertekad untuk memeluk Islam dan saya sangat gembira serta bersyukur kerana telah membuat keputusan yang tepat,’’ katanya.

Siti berkata, pada mulanya keluarganya membantah tetapi mereka akhirnya reda dengan keputusan itu setelah melihat kesungguhannya.

Bagi seorang lagi saudara baru, Lans Koperal Muhammad Hafizul Aiman John Abdullah, 28, dia bersyukur kerana diberi petunjuk dan hidayah untuk memeluk Islam.

“Saya mula berminat dengan Islam apabila terdapat saudara saya yang memeluk Islam dan setelah bertugas dengan ATM serta bercampur dengan rakan-rakan beragama Islam saya menjadi semakin tertarik dengan Islam lalu membuat keputusan untuk memeluk agama tersebut,’’ ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: