PETROLIAM Nasional Berhad (Petronas), yang mencatat peningkatan keuntungan bersih hampir 60 peratus bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2010 berikutan permintaan tinggi, mengunjurkan prestasi keseluruhan lebih baik bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2011.
SHAMSUL AZHAR...jangka prestasi lebih baik
“Ekonomi dunia masih rapuh dan kami belum pasti apa akan berlaku pada masa depan.
“Bagaimanapun, kami menjangkakan prestasi setahun penuh lebih baik berbanding tahun lalu,” katanya selepas mengumumkan keputusan suku pertama di Kuala Lumpur, semalam.
Perbadanan minyak nasional itu merekodkan keuntungan bersih RM12.3 bilion pada suku pertama, meningkat 59.7 peratus berbanding RM7.7 bilion pada suku sama pada 2009.
Keuntungan sebelum cukai melonjak 39 peratus kepada RM21.4 bilion berbanding RM15.4 bilion sebelumnya.
Keuntungan positif itu disumbangkan hasil kecekapan operasi yang tinggi dan inisiatif pengoptimuman kos yang terbukti daripada pulangan ke atas perolehan lebih tinggi sebanyak 36.5 peratus, pulangan pada modal purata 30.9 peratus dan pulangan ke atas jumlah aset sebanyak 20.6 peratus.
Perolehan pada suku pertama melonjak 26.3 peratus kepada RM58.6 bilion berbanding RM46.4 bilion sebelumnya berikutan harga produk petroleum lebih tinggi serta permintaan dunia yang tinggi terutama dari ekonomi membangun.
Sepanjang April hingga Jun tahun ini, jumlah pengeluaran minyak dan gas Malaysia meningkat 0.3 peratus atau 1.56 juta tong sehari (bpd), berbanding tempoh sama tahun lalu berikutan prestasi keseluruhan yang meningkat.
Permintaan minyak dunia meningkat 3.2 peratus tahun ke tahun selari dengan aktiviti ekonomi yang lebih kukuh.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: