TIDAK dapat dibayangkan kehebatan sebuah kereta dua pintu model coupe sport dimuatkan dengan enjin 2.4 liter bersama pendesak turbo, ia sememangnya mampu membawa anda di atas jalan raya ke mana sahaja tanpa ragu.
Volvo C30 T5 R-Design, model coupe jenama Sweden ini amat berkuasa dengan kuasa maksimumnya 230 hp dan kilas 320 Newton meter (Nm) dapat dirasakan apabila pedal minyak ditekan dari 1,500 revolusi per minit (rpm) sehinggalah ke 5,000 rpm.
Tujahannya dapat dirasakan dengan pendesak turbo memainkan peranannya membawa anda meluncur bersama meninggalkan kenderaan-kenderaan lain.
Model C30 sebenarnya menggabungkan reka bentuk Volvo P1800 ES klasik pada awal 1970-an yang tersendiri dan berbeza dengan model hatchback jenama lain.
Banyak dipengaruhi dengan reka bentuk vintaj-2002 dengan Kereta Konsep Keselamatan Volvo, ia adalah model terbaik setakat ini.
Dengan reka bentuk Scandinavia, inspirasi Volvo ini berjaya menghasilkan coupe yang licik, bergaya sport, tegap, moden dan seksi sesuai dengan cita rasa eksekutif muda yang mahukan kenderaannya menarik perhatian ramai khususnya pemandu lain semasa di atas jalan raya.
Dibina sama dengan platform S40 dan V50 wagon tetapi 72 kilogram lebih ringan berbanding varian S40 T5. Tidak hairanlah harganya agak mahal iaitu dari RM260,000 di atas jalan tanpa insurans.
C30 T5 ini dirapikan dengan aerokit R-Design bersama suspensi talaan sport bagi memberi perasaan sebenar memandu sebuah coupe sport kepada pemandu seiring dengan roda aloi 17 inci dan siri tayar berprofil rendah.
Talaan seperti ini banyak membantu kepada kestabilan kereta terutamanya semasa memecut di lebuh raya atau mengambil selekoh termasuk yang agak tajam.
Tidak dilupakan, ekzos berkembar kemasan krom yang hanya mengeluarkan asap minimum hasil teknologi terkini kawalan asap ciptaan jurutera Volvo.
Memandu C30 T5 ini amat mengasyikkan dipadankan dengan gear automatik 5 kelajuan bersama Geartronic bagi penukaran manual. Keyakinan pada
jenama Eropah yang terkenal dengan ciri keselamatan seperti WHIPS (Whiplash Protection System), SIPS (Sistem Perlindungan Impak Sisi) dan IC (Tirai Boleh Kembung).
Versi turbo model ini, memberi kuasa yang lebih semasa pemecutan - umpama harimau yang mahu menerkam mangsanya - tetapi dengan penjimatan minyak yang tidak mengecewakan iaitu 9 liter pada setiap 100 kilometer.
Respon setiap kali pendikit ditarik menyebabkan tidak perlu bagi pemandu menekan pedal sehingga ‘ke lantai’ kereta. Ia amat mengujakan.
Seperti biasa ia padat dengan ciri-ciri termasuk Kawalan Tarikan Dinamik Kestabilan (DSTC), Sistem Pintar Maklumat Pemandu (IDIS) dan beg udara di sekeliling bagi impak sisi dan perlindungan terbalik selain zon remuk belakang.
Seiring dengan S40 Powershift, C30 T5 ini mempunyai Sistem Maklumat Tempat Tidak Kelihatan (BLIS) yang mampu mengesan kenderaan pada titik tidak kelihatan di cermin sisi menggunakan kamera binaan dalam dengan memberi petunjuk segera kepada pemandu dengan kerlipan lampu di tiang A.
Sistem Perlindungan Impak Sisi (SIPS), Sistem membrek anti kunci (ABS), Edaran Tenaga Membrek Elektronik (EBD), Kawalan Stabiliti dan Terjahan (STC) dan Bantuan Brek Kecemasan (EBA) yang dipasang sebagai ciri standard dalam kereta ini.
Dalaman C30 T5 ini, dengan tempat duduk kemasan kulit, secara umumnya hanya mampu memuatkan empat dewasa dengan masing-masing dua depan dan belakang.
Ini kerana tempat duduk belakangnya adalah dua tempat duduk tunggal yang digabungkan. Ia dipisahkan dengan tempat letak lengan, bagaimanapun mampu memuatkan dua dewasa dan seorang kanak-kanak.
Papan pemukanya pula dengan kemasan bahan lembut yang tidak berbeza dengan kebanyakan model Volvo lain. Tidak dilupakan konsol terapung yang merupakan kemudahan ikonik bagi kenderaan Sweden berkenaan.
Tidak dinafikan bahawa jurutera-jurutera kenderaan jenama Sweden ini menyediakan kenderaan yang lengkap pakejnya dari segi prestasi, reka bentuk luaran dan dalaman serta keselamatan. Kesemuanya digabungkan menjadi satu dalam Volvo C30 T5 ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: