SIAPA kata pelancongan berkonsepkan inap desa atau lebih dikenali sebagai homestay di negara ini hanya diminati oleh pelancong asing?
Barangkali itu persepsi masyarakat tempatan kerana nama inap desa saja kedengaran agak asing dan kemungkinan kecenderungan masyarakat kembara luar negara.
Pun begitu, statistik Kementerian Pelancongan bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini mengubah skeptikal rakyat kita terhadap konsep pelancongan ini.
Daripada jumlah keseluruhan kedatangan pengunjung ke inap desa, seramai 65,361 adalah pengunjung domestik manakala 23,305 pengunjung antarabangsa.
Kementerian Pelancongan dengan kerjasama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sedang melaksanakan Program Pelancongan Keretapi.
Projek perintis produk pelancongan ini merupakan salah satu langkah mempromosikan program inap desa melalui pengalaman menaiki keretapi.
Pelancongan Keretapi Malaysia dilancarkan oleh Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen di Stesen Keretapi Tanjung Pagar, Singapura pada Jumaat lalu.
Penulis kini sedang mengikuti kembara ke inap desa di Kelantan antaranya Homestay Seterpa, Homestay Pantai Suri dan Homestay Kubang Telaga.
Turut disertai wakil media lain, penulis merasai pengalaman menaiki keretapi dari Stesen Keretapi Tanjung Pagar, Singapura ke Stesen Wakaf Baru, Kelantan.
Kelantan dianggap strategik dengan pelbagai keindahan alam semula jadi seperti hutan tropika, air terjun dan taman negara serta mempunyai pelbagai jenis makanan enak dan kaya dengan seni budaya.
Di Kelantan saja terdapat 161 rumah daripada lapan kampung berbeza yang berdaftar di bawah Program Homestay Kelantan.
Selain itu, negeri Pantai Timur ini turut menawarkan produk pelancongan inap desa di Homestay Kampung Batu Papan, Homestay Renok Baru, Homestay Kampung Bukit Jering, Homestay Kampung Jelawang dan Homestay Kampung Kemunchup.
Inap desa bukan sekadar percutian yang menyediakan kemudahan penginapan di desa tetapi turut memberikan pengalaman baru, lain daripada lain.
Pelancong akan menikmati percutian berbeza dengan menyelami gaya hidup masyarakat setempat seolah-olah menjadi sebahagian daripada mereka.
Persekitaran inap desa dikelilingi perkampungan tradisional dan kehijauan alam semulajadi serta menjanjikan aktiviti menarik daripada penduduk setempat.
Seperti penulis, anda akan dibawa menginap bersama keluarga angkat di kalangan penduduk kampung yang menyediakan peluang merasai kekayaan budaya mereka.
Banyak pilihan untuk anda sama ada melalui pengalaman sebagai petani, nelayan, pengusaha batik atau mungkin juga suri rumah, semuanya tidak mustahil di sini.
Selain itu, banyak aktiviti yang boleh dilakukan seperti menoreh getah, membuat kuih tradisional, mempelajari alat muzik tradisional dan menyaksikan persembagan kesenian.
Perbezaan antara inap desa di negara ini adalah persekitaran, permandangan, warisan budaya, aktiviti luar, kraftangan terutama penduduk di kampung terbabit.
Kembara selama tiga hari dan dua malam di Kelantan bakal memberi pengalaman baru kepada penulis yang selama ini lebih merasai kehidupan di bandar.
Pengalaman ini juga pastinya tidak dapat dilupakan apabila perjalanan dengan menaiki keretapi yang melalui lanskap luar bandar unik dan menarik.
Perasaan teruja dan gementar bercampur memandangkan ini merupakan kali pertama penulis menjejakkan kaki ke negeri Cik Siti Wan Kembang.
Percaya atau tidak tetapi itulah kenyataannya dan mungkin perkara tersebut turut dirasai segelintir rakyat Malaysia maka diberi peluang untuk merasai sesuatu yang baru.
Terdapat 1,001 rahsia di sebalik kehidupan kampung boleh dieksplorasi penulis atas tiket menjadi sebahagian daripada keluarga angkat terpilih.
Sekali-sekali kita berubah angin menikmati percutian dengan menginap di kampung halaman yang mendamaikan berbanding kebiasaannya di hotel.
Justeru, pelancongan berkonsepkan inap desa untuk semua tanpa mensasarkan pelancong asing semata-mata tetapi juga untuk rakyat tempatan.
Peluang keemasan ini seharusnya dirasai setiap orang seperti kata rakyat Kelantan, “Siloke Mari Sini,” (Datanglah melawat kami). Jadi, apa tunggu lagi?
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: