Monday, October 4, 2010

Dr Brady Kaji 23 Spesies Buaya

Pakar reptilia saluran National Geographic, Dr Brady Barr memegang ular sawa Burma albino bersama pelajar Sekolah Kebangsaan Sri Kelana.

BELIAU dikenali kerana berjaya menjadi saintis pertama menawan serta mengkaji kesemua 23 spesies buaya yang terdapat di dunia dan ada di antaranya diancam kepupusan dek kerakusan manusia.

Pakar reptilia Dr. Brady Barr, yang juga pengacara program popular Dangerous Encounters with Brady Barr di saluran National Geographic Wild telah menghabiskan keseluruhan kerjayanya mengkaji haiwan berbahaya.

Pada tahun 2006, beliau telah berkunjung ke negara ini buat pertama kali untuk merakamkan beberapa siri mengenai badak air dan ular sawa batik (reticulated python) di Zoo Negara.

Rancangan yang dikendalikan turut mendapat perhatian di seluruh dunia kerana kelainan ditonjolkan dengan mendokumentasikan cubaan beliau untuk meneroka haiwan berbahaya dan sukar didekati dalam persekitaran semula jadi mereka.

“Sebelum semua habitat mereka dimusnahkan kita perlu mengkaji dan memahami apakah faktor yang mereka perlu untuk meneruskan kehidupan.

“Minat saya adalah untuk mengembara ke seluruh dunia untuk mengkaji reptilia dan haiwan lain dalam habitat mereka,” katanya selepas membuat lawatan ke Sekolah Kebangsaan Sri Kelana, Kelana Jaya di sini baru-baru ini.

Brady berkata, beliau teruja dapat kembali dalam kunjungan keduanya ke sini dan melawat sekolah-sekolah terpilih di Malaysia untuk satu siri ceramah pemuliharaan hidupan liar dan para pelajar berpeluang belajar dan memahami lebih mendalam tentang usaha perlindungan terhadap haiwan berbisa dan liar.

Dr Brady turut menceritakan pengalamannya berhadapan dengan beberapa spesies terancam.

“Adalah penting untuk mendidik generasi muda di peringkat awal dan memberi inspirasi kepada mereka untuk berfikir dan bertindak ke arah melindungi habitat itu.

“Lawatan ini adalah terbaik untuk mencetuskan perasaan ingin tahu dan semangat penerokaan dalam minda dan hati kanak-kanak,” katanya yang berasal dari Indiana, Amerika Syarikat.

Bapa kepada dua cahaya mata ini berkata, beliau lega kerana anak-anaknya tidak pernah takut kepada haiwan malah menyayangi haiwan hasil daripada didikan dan pendedahan sejak peringkat awal.

“Saya agak terkejut apabila anak-anak memberitahu mereka mendapatkan seekor anak buaya sebagai binatang peliharaan dan mereka sangat suka menonton saluran National Geographic,” ujarnya.

Brady memberitahu, selain membuat lawatan ke sekolah, beliau akan kembali ke Zoo Negara untuk mengadakan penggambaran di Zoo Negara dan meluahkan keterujaan dapat kembali menjejakkan kaki ke situ untuk merakamkan siri terbaru programnya.

“Zoo Negara mempunyai banyak haiwan liar yang ada di antaranya tidak terdapat di negara lain dan paling menyeronokkan pihak zoo membenarkan kami mendekati semua haiwan yang terdapat di situ dan mengkaji tentang mereka,” katanya yang pernah takut dengan ular.

Sebahagian daripada pelajar bermesra dengan Dr Brady dan ular sawa Burma albino.

Rangka lawatan Brady ke negara ini juga bertujuan mempromosikan saluran terbaru di Astro saluran 550, National Geographic Wild dan tayangan perdana musim terbaru program Dangerous Encounters with Brady Barr yang bakal menemui penonton pada 10 Oktober 2010 pukul 8 malam.

Program yang dihidangkan dalam pilihan tiga bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Inggeris dan Mandarin termasuk di bawah Pakej Keluarga untuk pelanggan Astro.

“Mengapa kita perlu takut dengan hidupan liar, mereka tidak mengancam manusia melainkan diri mereka terasa terancam. Hidupan ini perlu dipelihara supaya generasi akan datang dapat mengenali spesies-spesies ini,” kata Brady mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: