Friday, October 15, 2010

Siapa pelakon terbaik FFM23?



Aktres Jasmine Micheal, yang diperkenalkan Mamat Khalid menerusi filem ke-enam arahannya, Estet, ternyata berjaya menambat hati juri, apabila terpilih dalam pencalonan lima terbaik bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik untuk Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23).

Turut tercalon dalam kategori tersebut ialah, Lisa Surihani (Lagenda Budak Setan), Maya Karin (Pisau Cukur), Mislina Mustaffa (Karaoke) dan Puteri Mardiana (Santau.)

Sementara itu, bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik, Farid Kamil (Lagenda Budak Setan), Bront Palare (Belukar), Esma Daniel (Santau) Shamsul Yusof (Evolusi KL Drif 2) dan Zul Huzaimy (Haq) berada di kedudukan lima pencalonan terbaik.

Seperti tahun-tahun sudah, festival anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas), itu mempertaruhkan 13 anugerah Perdana dan 12 Anugerah Cipta. Tidak terkecuali beberapa Anugerah Khas, termasuk Anugerah Khas Juri.

Keputusan lima pencalonan bagi kesemua kategori itu diumumkan oleh Nancy Foo selaku Pengerusi Jawatankuasa Juri pada satu sidang media khas yang berlangsung di di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), pagi semalam.

Turut hadir, Pengarah Finas, Mahyidin Mustakim dan Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Ahmad Puad Onah.

Bagaimanapun, bagi kategori lima pencalonan pengarah dan filem terbaik masih belum diputuskan juri.

Mahyidin menjelaskan, keputusan bagi kedua kategori tersebut masih dalam perbincangan juri memandangkan saingan yang sengit antara calon yang bertanding.

“Sehingga sekarang, kita masih belum mendapat keputusan dari juri. Insya-Allah ia akan diumumkan dalam masa terdekat ini, atau tunggu sahaja malam kemuncak nanti,” katanya.

Masih mengekalkan tema 'Filem Malaysia Ke Persada Dunia', FFM23 akan dihoskan tiga pengacara popular iaitu Zizan (Raja Lawak), Sharifah Shahira dan Hezri Hashim (RTM).

Kemuncak FFM23 hanya tinggal kurang dua minggu lagi dan akan disiarkan secara langsung dari SACC di saluran Astro Prima (saluran 105) dan RTM bermula jam 8.30 hingga 10.30 malam, pada 24 Oktober ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: