Friday, October 15, 2010

Dunia bersatu saksikan keajaiban



SAN JOSE - Mimpi ngeri paling panjang dalam sejarah sudah berakhir, lebih cepat daripada yang dijangka, semalam.

Kesemua 33 pelombong Chile yang terperangkap lebih dua bulan di bawah tanah selepas lombong San Jose di Chile runtuh dan menimbus laluan keluar, berjaya diselamatkan seorang demi seorang dalam satu operasi paling sempurna yang disaksikan seluruh dunia dengan penuh harapan dan kekaguman.

Pelombong terakhir dibawa keluar kurang 24 jam selepas operasi menyelamat itu bermula di mana mangsa melalui perjalanan hampir 700 meter ke muka bumi dalam kapsul khas yang dinamakan Phoenix, sempena nama burung dalam mitos Greek yang lahir semula selepas terbakar menjadi abu.

Operasi luar biasa itu tamat secara rasmi apabila anggota penyelamat pertama yang diturunkan ke tempat pelombong terperangkap itu, Manuel Gonzalez, menjadi individu terakhir dibawa naik ke muka bumi.

Pakar keselamatan lombong itu dihantar bagi membantu pelombong beberapa jam sebelum operasi bermula dan menghabiskan masa 26 minit bersendirian di dalam lombong sementara menunggu kapsul penyelamat dihantar kepadanya.

Gonzalez tiba di permukaan tepat jam 12.32 pagi semalam dan disambut dengan sorakan dan pelukan daripada rakan setugas dan Presiden Chile, Sebastian Pinera.

Usaha menyelamat dengan kos hampir AS$20 juta (RM62 juta) itu melangkaui semua jangkaan awal apabila berjaya disempurnakan dalam masa 69 hari, berbanding tempoh empat bulan yang diperuntukkan oleh anggota keselamatan semasa kumpulan pelombong itu ditemui, dua bulan lalu.

Anggota penyelamat juga menjangkakan memerlukan masa antara 36 hingga 48 jam untuk membawa naik kesemua pelombong selepas laluan keluar siap digerudi, namun masa sebenar yang diambil hanyalah 22 jam dan 37 minit.

Ribuan orang ramai di 'Kem Harapan' iaitu kawasan penempatan sementara yang dibina di lombong emas dan tembaga itu melepaskan belon dan bersorak kegembiraan selepas operasi penuh debaran itu berakhir dengan selamat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: