Friday, October 15, 2010

Farid nafi sombong



Farid Kamil atau nama penuhnya Farid Kamil Zahari,29, adalah nama yang tidak asing lagi di dalam industri seni tanah air kita.

Lakonannya yang berkesan di kaca televisyen mahupun di layar perak membuatkannya sentiasa menjadi rebutan ramai pengarah dan penerbit tanah air.

Namun, seiring dengan popularitinya, timbul desas-desus yang mengatakan Farid semakin sombong dan sukar untuk memberi kerjasama dengan pihak media.

Malah, telefon bimbitnya kini sukar berjawab, meskipun dihubungi beberapa kali. Hal ini membuatkan ramai wartawan mengeluh dengan sikapnya.

Farid yang ditemui ketika majlis pra tonton filem terbarunya, Cuti-Cuti Cinta, di e@The Curve, Damansara Utama, bagaimanapun, cuba mempertahankan dirinya apabila diajukan tentang perkara itu.

Farid berkata, dia bukanlah sombong atau sengaja mahu melarikan diri dari pihak media, tetapi mahu menjaga eksklusif diri setelah 10 tahun berkecimpung dalam industri seni.

“Saya akui itu merupakan kesilapan saya. Saya ingin meminta maaf. Saya tahu sepanjang penglibatan dalam dunia seni masih banyak yang tidak saya ketahui.

“Saya bukannya tidak mahu memberikan kerjasama dengan pihak media, tetapi saya tidak mahu wajah saya sentiasa terpampang di dada akhbar ataupun majalah.

“Kalau ada pun, biarlah saya keluar dengan ‘produk’ saya, misalnya filem ataupun drama. Kalau hanya kisah-kisah peribadi, tak perlulah. Saya pun tak suka jaja kisah peribadi,” kata Farid yang pernah dituduh tidak berdisiplin oleh seorang penerbit gara-gara keliru dengan statusnya sebagai ‘Wajah Eksklusif Astro’.

Farid berkata, dia juga khuatir sekiranya peminat akan jemu dengannya jika ceritanya terlalu kerap muncul di media.

“Jika ingin mewawancara atau melakukan sesi bergambar dengan saya sekali pun, tetap ada batasan dan saya tidak mahu terlalu kerap macam dulu lagi.

“Itu pun kalau ada cerita tentang karier atau produk baru saya. Bukannya apa, saya tidak mahu terlalu menjadi paparan media seperti sesetengah artis, sedangkan lakonan tak ke mana,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: