Sunday, October 24, 2010

Segar dan asli dari Tanzini


Tiger prawn vongole.


PESONA metropolitan Kuala Lumpur terserlah saat berada di restoran ini. Apatah lagi andai malam menjelma. Limpahan cahaya neon bergemerlapan terutama dari menara berkembar KLCC sungguh menawan. Seakan diri juga seperti menikmati hidangan sambil terapung di awangan.

Itu antara tarikan Restoran Tanzini yang terletak di tingkat 28, bangunan GTower, Jalan Tun Razak yang sememangnya cukup mengujakan. Belum lagi berbicara mengenai barisan menu yang memikat selera.

Mengetengahkan sajian Itali, restoran ini menjanjikan keaslian hidangan dan juga penggunaan bahan segar. Daripada pembuka selera, menu utama, menu sampingan dan pencuci mulut, semuanya cukup memikat rasa. Lokasi ini juga sesuai buat mereka yang mementingkan kesihatan kerana masakan Itali sememangnya antara yang berkhasiat kerana banyak menggunakan sayuran dan minyak zaitun.

Menurut Pengurus Komunikasi dan Pemasaran, Melissa Hon, pembukaan Tanzini lebih tiga bulan lalu mendapat sambutan menggalakkan bukan sahaja daripada pengunjung GTower malah mereka yang berada di luar.

“Kami juga memiliki dewan sederhana dan ruang menikmati hidangan di tingkat paling atas berkonsep terbuka. Anda boleh mengadakan majlis istimewa di sini berlatar belakang pemandangan Kuala Lumpur yang mengasyikkan,” katanya.

Antara menu yang menjadi taruhan di situ adalah pembuka selera tentunya caesar salad yang segar ditaburi parutan kecil keju parmesan menjadi perhatian. Jangan lupa juga mencuba beberapa pembuka selera lain yang enak.

Hidangan utama crab aioli, agnello milanese, tiger prawn vongele juga tidak kurang hebatnya. Tanzini turut terkenal dengan hidangan pemanis mulut menyelerakan seperti coconut pannacota dan beberapa lagi pastri manis.

“Desert di Tanzini antara yang paling diminati. Chef kami menggabungkan sedikit elemen Asia kepada hidangan ini untuk kelainan. Lebih istimewa, kesemua pastri, kek dan roti di sini disediakan dari dapur kami secara segar setiap hari,” kata Melissa.

Menurutnya lagi, Tanzini turut memiliki ladang yang mempunyai kolam ikan dan juga tanaman sayuran untuk digunakan di restoran tersebut. Di samping itu, mereka juga mengutamakan penggunaan sayur organik disebabkan faktor kesihatan.

Di buka setiap Isnin hingga Sabtu, makan tengah hari di Tanzini bermula pukul 11.30 hingga 2.30 petang dan makan malam pukul 6.30 petang hingga 11 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: