|
|
MALAYSIA merupakan sebuah negara yang terkenal dengan penduduknya yang berbilang bangsa dan agama. Maka tidak hairanlah dalam setahun pelbagai perayaan disambut yang mewakili setiap kaum di negara ini.
Semangat perpaduan yang wujud di kalangan penduduk juga telah menjadikan perayaan terbabit seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina atau Deepavali disambut dengan meriah.
Bukan itu sahaja, malah kelebihan ini turut menjadikan hidangan yang dinikmati agak unik kerana dapat merasai pelbagai sajian istimewa yang disediakan daripada pelbagai kaum lebih-lebih lagi ketika menghadapi sesuatu musim perayaan.
Menjelang 5 November ini, masyarakat India akan menyambut perayaan Deepavali. Serentak dengan itu, Dondang Sayang Coffee House, di Hotel Corus Kuala Lumpur turut mengambil kesempatan menyediakan hidangan istimewa untuk para pengunjungnya sepanjang November.
Orang ramai berpeluang menikmati aroma rempah ratus yang dihidangkan dalam pelbagai masakan yang pasti menawan selera.
Menurut Sous Chefnya, Arokianathan Anthony Muthu, masakan India sememangnya kaya dengan penggunaan rempah ratus yang bukan saja menambah aroma bahkan melazatkan masakan.
''Masakan India memang banyak menggunakan rempah ratus dan bawang besar kerana ia membuatkan masakan berasa lebih manis.
''Antara rempah ratus yang sering digunakan dalam masakan India ialah serbuk cili, biji jintan, ketumbar, halia, bawang putih serta kunyit.
''Kesemua rempah ratus ini menaikkan lagi aroma serta menghasilkan masakan yang lebih lazat,'' ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Dondang Sayang Coffee House menawarkan lebih 70 jenis masakan yang terdiri daripada masakan Melayu, Cina dan India sempena Deepavali hi-tea pada 5 November ini.
Antara masakan India yang disajikan ialah tomato rassam, nasi sayur pillau, ayam tandoori, kambing vindaloo, aloo gobi, kari kentang bunga kobis, tosai, capati, puri dan roti canai.
Untuk hidangan pencuci mulut pula anda berpeluang mencuba pelbagai manisan tradisional masyarakat India seperti halva, laddu serta gilebi yang menjadi hidangan wajib pada perayaan Deepavali.
Manisan yang pelbagai rasa dan warna itu pastinya menarik minat anda untuk merasainya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: