Sunday, October 24, 2010

Emak lagakan anak-anak

BEBERAPA kali saya mengulang membaca cerita yang tersiar beberapa minggu lalu ''Ibu sakit anak bersengketa.' Memang cerita biasa, tetapi berapa ramai antara kita yang benar-benar mengambil iktibar daripada kisah yang dipaparkan. Saya tak nafikan kebenaran cerita tersebut.

''Namun apa yang ingin saya kongsi bersama di ruangan ini kisahnya agak terbalik, bukan tidak ada anak yang mahu menjaga ibu mereka bila sakit, tetapi ibu pulak yang banyak ragam memporak-perandakan kehidupan anaknya hingga bersengketa sesama sendiri. Inilah masalah yang saya hadapi berdepan dengan masalah emak sendiri.'' Demikian menurut Shamsiah dalam e-melnya.

''Saya mempunyai empat orang adik-beradik. Emak saya sudah tua, ada tanda-tanda akan diserang penyakit strok. Saya dan suami sering menawarkan diri untuk menjaga emak, kerana saya tahu kalau kita kurang beri perhatian, mungkin penyakitnya akan segera menyerang. Lagi pun ibu pernah tinggal bersama kami, tetapi tak lama, katanya tidak selesa.

''Alasannya, anak saya ramai dan kawasan rumah saya bising. Dia suka tinggal bersama adik Su yang ketika itu baru setahun dua berkahwin. Tetapi sejak emak tinggal bersama adik. Pertengkaran dan pergaduhan sering terjadi antara adik dan suaminya yang berakhir dengan perceraian.

''Saya dapat tahu dari adik, emak suka campur tangan dalam urusan mereka suami isteri banyak. Bila emak keluar dari rumah adik, mereka suami isteri rujuk semula.

''Bila adik Su rujuk dengan suaminya semula tentulah emak tak selesa lagi datang ke rumah adik apalagi hendak tinggal bersama seperti dulu. Jadi emak terpaksa pindah tinggal di rumah anak lelakinya di KL yang merupakan anak kesayangan emak.

''Lagi pun sejak bujang lagi adik Shah pernah berjanji yang dia akan jaga emak apabila emak memerlukannya nanti. Tetapi janji sebelum kahwin, dah beristeri adik mula tak selesa bila emak cakap nak datang ke rumahnya. Beberapa kali emak telefon Sham untuk menjemputnya tapi Sham tak berapa nak layan, alasannya sibuk tak boleh ambil emak tinggal bersama di rumahnya.

Alasan

''Saya tak tahulah apa alasan Shah sebenarnya, tetapi saya tahu emak memang tak berkenan dan tak serasi dengan menantunya, isteri Shah.

''Satu perangai buruk emak suka melaga-lagakan kami adik-beradik. Sebagai contoh emak memburukkan saya pada adik-adik, tapi depan saya emak akan mengutuk dan burukkan adik-adik.

''Terbaru emak mengadu pada adik Su, saya burukkan Su. Apalagi Su datang mengamuk ke rumah saya lantas tuduh saya macam-macam tanpa bertanya. Saya tahu adik tak akan mengamuk macam tu kalau hatinya tak sakit sangat. Sedangkan saya tak pernah mengutuk Su. Ceritanya terbongkar bila adik kata emak yang bercerita. Jadi salah siapa kalau kami adik-beradik berkelahi?

''Di pendekkan cerita, emak memfitnah saya dengan cerita yang tidak pernah saya lakukan. Saya mengambil langkah berdiam diri tetapi macam-macam cerita tak betul timbul satu persatu. Begitu juga dengan Sham.

''Walaupun emak fitnahkan saya macam-macam, tapi saya tetap sayangkan emak. Malah saya kesian bila Shah tak pedulikan makan minum emak. Bayangkan emak sarapan jam 12 tengah hari, itu pun emak terpaksa kejutkan Shah dan isterinya dari tidur di bilik atas. Makan malam pulak jam 11 malam.

''Tetapi kerana emak sayangkan Shah kerana dia anak lelaki harapan, emak tak marah, walau apa pun Shah lakukan pada emak.

''Emak fikir dengan fitnahkan saya maka Shah dan Su akan jaga emak dengan baik, tetapi sayangnya emak tetap dipinggir dan diketepikan.

''Apa yang merunsingkan saya siapa antara mereka akan menjaga emak? Sekarang pun emak dah tersepit kerana fitnahnya. Nak ke rumah saya dia tak sukakan saya, nak ke rumah Su dia bencikan suami Su. Nak tinggal di rumah Shah, mereka suami isteri tak pernah pedulikan emak. Malah menganggap emak kuli mereka. Sementara seorang lagi adik masih bujang, tak boleh nak tumpang.

Saya mahu kami berbaik adik-beradik dapat bergilir menjaga emak. Sikap emak memfitnahkan kami bukan boleh membuatkan emak disayangi, sebaliknya emak akan dibenci dan dipinggirkan.'' Demikian luahan hati Shamsiah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: