Tuesday, October 5, 2010

'Saudagar Maut' tentang ekstradisi


VIKTOR BOUT (tengah) yang dikawal anggota polis keluar dari Mahkamah Jenayah di Bangkok semalam.


BANGKOK - Pedagang senjata Rusia, Viktor Bout, yang digelar 'Saudagar Maut' tiba di sebuah mahkamah di Thailand semalam dengan memakai baju kalis peluru bagi mendengar perbicaraan kes ektradisinya ke Amerika Syarikat (AS).

Bout yang dikawal pasukan komando polis dibawa dari sebuah penjara kawalan ketat di sini ke Mahkamah Jenayah Thailand bagi menghadiri perbicaraan untuk menyerahkannya kepada AS atas beberapa dakwaan keganasan.

Ditanya wartawan di mahkamah sama ada dia akan dibicarakan secara adil di AS, bekas juruterbang tentera udara Soviet Union berusia 43 tahun itu memberitahu: "Perkara tersebut tidak akan berlaku".

Bout sepatutnya dihantar ke AS pada Ogos lepas atas arahan sebuah mahkamah rayuan Thailand tetapi proses ekstradisi itu ditangguhkan bagi mendengar dakwaan terbaru AS terhadapnya yang melibatkan kes penggubahan wang haram dan penipuan.

"Setakat yang saya maklum, mahkamah tersebut berkemungkinan besar akan menggugurkan dua tuduhan itu bagi memudahkan Bout diekstradisi," kata Pengarah Hal Ehwal Antarabangsa Pejabat Peguam Negara, Sirisak Tiyapan.

Namun, keputusan muktamad sama ada proses ekstradisi berkenaan akan dibenarkan terletak di tangan Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva.

Warga Rusia itu yang dipercayai boleh bertutur dalam enam bahasa ditangkap pada Mac 2008 dalam satu operasi pihak berkuasa Thailand.

Dia didakwa bersetuju untuk membekalkan senjata berharga jutaan dolar AS kepada ejen-ejen AS di Thailand yang menyamar sebagai gerila komunis FARC Colombia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: