MOSCOW - Beberapa bandar yang dibina oleh bangsa Aryan yang menggunakan simbol swastika seperti tentera Nazi di Jerman telah ditemui di kawasan Steppe di pedalaman Rusia, lapor sebuah akhbar semalam.
Bangsa Aryan menjadi popular kerana ia menjadi kebanggaan bekas pemimpin Nazi di Jerman, Adolf Hitler yang pernah merancang pembunuhan ramai bangsa Yahudi pada era Perang Dunia Kedua.
Beberapa pakar arkeologi telah mengenal pasti 20 penempatan berbentuk bulatan yang dibina kira-kira 4,000 tahun dahulu pada permulaan tamadun Barat sejurus selepas pembinaan Piramid Besar di Mesir.
Adalah dipercayai bangunan-bangunan tersebut digunakan oleh bangsa Aryan dan boleh menempatkan kira-kira 2,000 orang.
Seorang felo penyelidikan di King's College London dan pengacara terkenal, Bettany Hughes telah meneroka kawasan penduduk bangsa Aryan itu yang bersempadan dengan Kazakhstan untuk program radio Perbadanan Penyiaran British, Tracking The Aryans.
Bahasa Aryan telah dikenali sebagai pelopor beberapa bahasa Eropah.
Bahasa Inggeris menggunakan banyak perkataan bangsa Aryan seperti brother, oxen dan guest.
Setakat ini beberapa barang telah ditemui seperti serpihan tembikar dan sebuah pedati kuda di kawasan itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: