Tuesday, October 5, 2010

Kuan Yew masih belum kelihatan


LEE HSIEN LOONG (kiri) dan isterinya Ho Ching (di sebelahnya) berdiri dekat keranda ibunya, Kwa Geok Choo, di Sri Temasek, Singapura semalam.


SINGAPURA - Rakyat Singapura memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Kwa Geok Choo yang merupakan isteri pengasas negara berkenaan, Lee Kuan Yew semalam. Mereka memberikan penghormatan terakhir ketika kebimbangan semakin meningkat berhubung tahap kesihatan Kuan Yew.

Geok Choo, 89, meninggal dunia pada Sabtu lepas setelah lama jatuh sakit.

Beliau menghembuskan nafas terakhir ketika suaminya dirawat di hospital kerana jangkitan paru-paru selepas melakukan lawatan kerja ke Eropah baru-baru ini.

Kuan Yew berusia 87 tahun pada 16 September lepas dan hidup bersama isterinya selama 63 tahun.

Namun, kelibat Kuan Yew tidak kelihatan sejak isterinya meninggal dunia.

Pemerintah dan jurucakap hospital enggan memberikan komen berhubung di mana Kuan Yew berada semalam.

Anak perempuan pasangan tersebut yang merupakan seorang doktor, Lee Wei Ling, 55, dilaporkan berada di sisi ibunya semasa beliau menghembuskan nafas terakhir.

Anak lelaki mereka, Perdana Menteri Lee Hsien Loong, 58, bergegas pulang ke Singapura dari Brussels, Belgium sekali gus membatalkan kehadirannya pada satu sidang kemuncak Asia-Eropah yang dijadualkan berlangsung semalam.


GAMBAR fail menunjukkan Lee Kuan Yew dan isterinya, Kwa Geok Choo pada 9 Septemebr 2004 di Istana Nurul Iman, Brunei.


Jenazah Geok Choo diletakkan di sebuah banglo, Sri Temasek turut dikenali sebagai istana yang terletak berhampiran bangunan pejabat Presiden Singapura.

Orang ramai dibenarkan memberi penghormatan terakhir sebelum Geok Choo disemadikan dalam satu upacara pengebumian persendirian esok.

Setakat semalam, beratus-ratus orang beratur di luar banglo itu dan menunggu untuk diperiksa oleh anggota-anggota polis sebelum mereka menaiki beberapa buah bas menuju ke banglo di atas bukit yang menempatkan mayat Geok Choo untuk majlis penghormatan terakhir.

Isteri Kuan Yew itu dilahirkan dalam keluarga terkenal Cina di Singapura dan merupakan anak seorang ahli perbankan.

Dia belajar di Sekolah Perempuan Methodist di Singapura dan meneruskan pengajian undang-undang di Universiti Cambridge, England.

Geok Choo kemudian berkenalan dengan Kuan Yew di universiti itu pada 1944 dan mereka berkahwin di Singapura pada 1950.

Sebelum Kuan Yew menjadi Ketua Menteri, beliau dan isterinya menubuhkan firma guaman.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: