Sunday, October 10, 2010

Sasaran Nor’ain

PADA mulanya dia bermain dart sekadar memenuhi permintaan rakan sekerjanya yang ketika itu kekurangan pemain kira-kira empat tahun lalu.

pix_middle


Katanya, dia sememangnya meminati sukan sejak di bangku sekolah lagi dan mencuba pelbagai aktiviti sukan.

Namun, kerjayanya yang sentiasa menuntut komitmen yang lebih membataskannya untuk terus membabitkan diri dalam aktiviti sukan.


“Masa saya banyak dihabiskan di tempat kerja dan tidak dapat menyertai mana-mana aktiviti sukan, namun selepas diperkenalkan pada sukan dart saya dapat rasakan ia bersesuaian dengan jiwa saya.

“Walaupun kiraan percubaan pertama agak teruk, saya tidak berputus asa dan terus aktif dalam sukan ini sehingga memberanikan diri menyertai beberapa pertandingan dart di sekitar negara,” katanya.

Menurutnya, walaupun ada pihak menganggap sukan dart hanya untuk suka-suka dan tidak mencabar, baginya ia mempunyai keistimewaannya tersendiri.

Sukan ini secara tidak langsung mendorong pemain untuk bijak melakukan pengiraan matematik supaya dapat melakukan balingan yang mengenai ruang dikehendaki di papan dart itu.

“Tidak dapat dinafikan sukan ini tidak membabitkan pergerakan fizikal maksimum berbanding sukan lain, tetapi ia memerlukan perhatian dan fokus tinggi.

“Postur badan dan cara balingan harus betul bagi memastikan anak panah
dart mengenai sasaran, sekali gus mendapatkan jumlah bila­ngan dikehendaki,” katanya.

Anak jati Kuala Lumpur ini berkata, walaupun ada yang memandang serong penyertaan wanita dalam sukan ini, baginya setiap orang ada pendapat masing-masing.

Katanya, sukan ini bersifat ‘universal’ atau sejagat dan tiada peraturan khusus melarang wanita menyertainya, cuma pembabitan golongan Hawa kurang.

“Rakan lelaki banyak membantu saya menajamkan skil dan mereka tidak sedikit pun memandang rendah keupayaan kami.

“Malah jika saya berjaya mengalahkan mereka, ia dianggap satu cabaran kepada mereka,” katanya yang bertugas sebagai Penerbit Rancangan di Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) dan juruhebah radio KL FM.

Sejak membabitkan diri dalam permainan ini, Nor’ain menyertai pelbagai pertandingan di dalam negara dan berjaya mewakili Wilayah Persekutuan dalam kejohanan Majlis Sukan dan Kebajikan Anggota-Anggota Kerajaan (Maksak) dan Majlis Sukan dan Kebajikan Anggota-Anggota Kerajaan Wilayah Persekutuan (MAKSWIP).

Meletakkan harapan untuk mewakili negara dalam sukan itu satu hari nanti, Nor’ain mahu melihat lebih ramai pembabitan anak Melayu, terutama wanita, dalam sukan ini kerana negara kini kekurangan pemain wanita berbakat.


PROFIL
NAMA: Nor’ain Muftarharuddin
UMUR: 28 tahun
ASAL: Jalan Ipoh, Kuala Lumpur
KELUARGA: Ketiga daripada empat beradik
PEKERJAAN: Penerbit Rancangan di Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) dan juruhebah radio KLfm
PENDIDIKAN: Tahun akhir Bacelor Komunikasi Massa, Universiti Terbuka Malaysia dan Sijil Pereka Grafik Politeknik Johor Bahru
PENCAPAIAN: Separuh akhir Kejohanan Dart Terbuka Johor 2010, lapan teratas dalam Kejohanan Dart Terbuka Melaka pada 2008 dan 2009 dan mewakili Wilayah Persekutuan dalam kejohanan Majlis Sukan dan Kebajikan Anggota-Anggota Kerajaan (Maksak) dan Majlis Sukan dan Kebajikan Anggota-Anggota Kerajaan Wilayah Persekutuan (MAKSWIP) pada 2007, 2009 dan 2010

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: