SEBUT pasal tengkorak, pasti ramai terbayang mayat yang hanya tinggal tulang atau sesuatu kisah ngeri. Ini kerana, bukan mudah melihat tengkorak melainkan seseorang itu pernah terjumpa rangka manusia atau haiwan atau menyaksikannya di pameran berkaitan penemuan rangka manusia zaman dulu, iaitu petunjuk kepada sejarah awal manusia di sesebuah tempat.
Namun, agak pelik juga bagaimana sebuah kawasan terpencil di Tanjung Karang daerah Kuala Selangor mendapat namanya yang unik iaitu Bagan Tengkorak.
Nama kawasan ini saja menimbulkan seribu persoalan kepada sesiapa yang mendengarnya.
Bagi mencari jawapan kepada misteri nama Bagan Tengkorak yang aneh ini, wartawan Metro Ahad menjejaki cerita di sebalik nama berkenaan dengan menemui Tok Sidang Kampung Sungai Burung, Jiat Ehsan, yang juga anak jati.
Menceritakan serba sedikit latar belakang Bagan Tengkorak, Jiat mengatakan ia meliputi kawasan Kampung Sungai Burung.
Kebanyakan penduduk di sana berketurunan Cina dan Jawa yang berhijrah dari Indonesia, malah masih fasih menggunakan bahasa Jawa sebagai bahasa pengantar selain bahasa Malaysia.
Menurutnya, nama ‘Bagan’ sebenarnya diambil daripada bahasa Jawa yang merujuk kepada perkampungan nelayan, di mana kebanyakan penduduk dari dulu hingga kini bergantung rezeki sebagai pelaut dengan menangkap ikan.
Mereka turut bekerja sebagai petani dengan menanam padi serta kelapa sawit sebagai mata pencarian, terutama apabila tidak dapat ke laut akibat musim tengkujuh.
Menariknya, asal usul nama Bagan Tengkorak diambil daripada kisah kekejaman Jepun yang menjadikan kawasan itu sebagai pusat tahanan bagi melaksanakan hukuman pancung selain di Jasin, Melaka.
Berdasarkan cerita lisan yang diperturunkan penduduk terdahulu, Jiat berkata, ketika pendudukan Jepun pada 1941 hingga 1945, boleh dikatakan 10 hingga 20 tahanan dipancung setiap bulan setelah ditahan akibat melawan atau mengingkari arahan tentera Jepun.
Setiap tahanan yang diikat kaki dan tangan diseret ke tebing sungai sebelum diarah menundukkan kepala seterusnya dipancung.
“Tentera Jepun memanggil kawasan ini sebagai Sungai Tengkorak, iaitu merujuk kepada tempat menjalankan hukuman pancung kepada tahanan mereka.
“Jadi bila disebut Sungai Tengkorak, bukan saja tahanan atau tentera Jepun, malah penduduk juga tahu ia adalah destinasi terakhir kepada mereka yang ditahan,” katanya.
Menurutnya, sungai berkenaan menjadi kubur kepada mangsa kekejaman Jepun, malah sehingga kini lokasi hukuman pancung itu dilaksanakan juga dikatakan keras dan ada penunggu.
Ini kerana semua mayat dibiarkan tenggelam di sungai dan tidak dikebumikan, berbeza daripada tahanan di tempat lain yang dipancung dan ditanam di kawasan tanah yang digali oleh mereka sendiri.
Oleh kerana ia dikenali sebagai kawasan hitam, penduduk menggelarkan kampung nelayan itu sebagai Bagan Tengkorak.
Malah, ketika berlaku darurat di Tanah Melayu pada 1946 hingga 1960, kawasan berkenaan digeruni penduduk luar berikutan turut dijadikan lokasi komunis bagi memenggal kepala musuh.
Jiat berkata, walaupun kes pembunuhan dilakukan komunis tidak banyak, rentetan sejarah kejam menyebabkan penduduk luar takut untuk memasuki kawasan itu dan sehingga detik itulah nama Bagan Tengkorak lekat sehingga kini.
Penduduk, Abdul Hamid Man, 61, yang turut berkongsi cerita pula mengatakan, dua penduduk di situ dibunuh ketika penjajahan tentera Jepun.
Katanya, berdasarkan cerita ibunya, seorang penduduk dikenali sebagai Daud diseret beberapa tentera Jepun kerana dikatakan tidak menghormati mereka yang lalu di depannya.
Akibatnya, seorang tentera menegurnya, namun kerana tidak faham percakapan mereka, Daud hanya mendiamkan diri.
Berang dengan tindakan Daud, tentera terbabit mengheretnya ke tebing sungai sebelum memancung kepalanya.
Uniknya, walaupun dulu rata-rata penduduk di sekitar Tanjung Karang tidak berani menjejakkan kaki di sana, namun sesuai peredaran masa, ia kini menjadi tumpuan pelancong, terutama dari luar negara.
Ini kerana, bermula November hingga Januari, Bagan Tengkorak menjadi destinasi persinggahan pelbagai jenis burung migrasi seperti helang, enggang, kedidi dan burung botak.
Malah bagi kaki pancing, Sungai Tengkorak memberi habuan ‘mengghairahkan’ dengan kehadiran spesies udang galah yang mudah ditangkap.
Bagi yang ingin mencuba memancing ikan laut dalam pula, anda boleh menyewa mana-mana perkhidmatan bot yang membawa ke beberapa lokasi tukun yang dihuni spesies ikan seperti jenahak, senangin dan ikan merah.
FAKTA
Bagan Tengkorak, Tanjung Karang, Selangor
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: