TRANSFORMASI memerlukan usaha bersepadu yang menuntut langkah berani serta komitmen dan penyertaan daripada semua pihak bagi menangani cabaran utama seperti pelaburan swasta dan produktiviti rendah, kapasiti daya inovasi yang lemah serta kekurangan pekerja mahir.
Beliau berkata, rakyat perlu bersama-sama berkongsi aspirasi negara dan memperlengkapkan diri dengan kemahiran serta pengetahuan bagi menyokong aktiviti bernilai tambah yang lebih tinggi.
“Untuk merealisasikan aspirasi negara, kita mesti memanfaatkan kelebihan kita sebagai sebuah masyarakat berbilang budaya, biodiversiti yang kaya, dilengkapi infrastruktur terbaik serta asas-asas ekonomi yang kukuh,” katanya yang juga Menteri Kewangan dalam prakata Laporan Ekonomi 2010/2011 yang dikeluarkan hari ini.
Menurut Najib, Malaysia kini berada pada fasa pembangunan yang amat penting dalam usaha transformasi menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.
“Bagi merealisasikan transformasi itu, perubahan mesti dilakukan dengan melaksanakan langkah berani untuk mempercepatkan transformasi, memberi tumpuan kepada usaha mempertingkatkan produktiviti menerusi kreativiti, inovasi, menambah baik modal insan secara berterusan dan mengguna pakai teknologi terkini.
“Kita mesti bekerja sebagai satu pasukan untuk mengatasi segala rintangan demi mencapai aspirasi ini. Kita bersama-sama dalam perjuangan ini dan setiap orang ada peranan dalam perjalanan ke arah menjadi sebuah negara maju dan berpendapat tinggi,” katanya.
Kerajaan sudah memulakan program transformasi nasional berteraskan empat tonggak iaitu Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi dan Rancangan Malaysia Ke-10.
Kerajaan juga sudah memperkenalkan 12 Bidang Ekonomi Utama Negara untuk meningkatkan pendapatan kasar negara kepada RM1.7 trilion dan mewujudkan 3.3 juta peluang pekerjaan menjelang 2020 menerusi pelaksanaan 131 projek permulaan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: