|
|
DALAM menata hias kediaman, kebiasaannya kita memilih untuk menyusun buku-buku di ruang santai yang sesuai untuk aktiviti membaca. Pastinya ruang tersebut eksklusif tanpa dicampur-aduk barangan lain bagi mengelak suasana serabut.
Mungkin tidak terlintas di fikiran kita satu ruang yang menggabungkan koleksi buku dan bekas menyimpang barang mampu dihasilkan. Bayangkan buku-buku disusun rapi bersatu dengan pelbagai bentuk bekas menyimpan barang yang menarik, cantik dan unik. Semestinya ruang seumpama itu amat sesuai untuk kediaman dengan keluasan kecil dan sederhana. Satu ruang dipelbagaikan fungsinya, namun tidak secara keterlaluan bagi mengelak semak mata memandang.
Di ruang itu, ahli keluarga atau penghuni kediaman seperti apartmen misalnya dapat mengisi masa membaca buku dan menonton televisyen, sesekali merehatkan mata dengan mengalih pandangan kepada hiasan menarik pelbagai bentuk.
Pemilihan kusyen sofa yang lembut untuk ruang seperti ini memberi suasana yang selesa buat keluarga. Rak-rak buku yang simple tetapi menarik sering menjadi pilihan. Rak buku klasik, Billy keluaran IKEA sejak 1979 merupakan antara rak kegemaran ramai. Hasil pembuatannya yang kemas membolehkan buku-buku disusun rapi dan menimbulkan minat untuk membaca. Reka bentuknya juga mampu menjimatkan ruang.
Bagi yang inginkan kelainan boleh memilih sofa yang ditambah dengan fungsi katil. Sesuai untuk mereka yang tinggal di kediaman bersaiz kecil seperti kondominium atau pangsapuri, ia boleh dijadikan katil tambahan untuk keluarga dan tetamu.
Trend warna biru
Biru dan hijau dikatakan warna yang mampu memberi ketenangan dan meningkatkan kualiti hidup. Warna ini jika pandai digayakan serta disuai-padan dengan warna perabot yang betul membantu memberi keluasan kepada ruang kecil. Bagi yang masih tercari-cari koleksi idaman ini, anda boleh mengunjungi ruang pameran IKEA yang menyediakan pelbagai pilihan barangan biru. Ini termasuk tuala, kusyen, langsir dan sebagainya. Selain itu, motif dari Afrika kini semakin digemari. Hadirnya koleksi Vilmie tentunya memberi inspirasi kepada anda untuk mengubah suai ruang kediaman. Rekaan pereka dalaman Ikea, Emma Jones memberi ilham moden dengan pilihan pelbagai corak dan warna. Corak jalur, bintik serta tompok-tompok bulat antara pilihan utama musim ini.
Begitu juga lampu dinding yang berbeza dengan penggunaan lampu siling. Dengan corak abstrak yang menarik, ia juga menjadikan ruang lebih luas dan cantik. Istimewanya, lampu sebegini mempunyai dua fungsi iaitu sebagai penghias dinding dan mencerahkan ruang kediaman anda. Bagi mereka yang inginkan sesuatu segar dan ceria, penggunaan warna seperti hijau, merah samar dan kuning boleh menjadi keutamaan. Tidak mengabaikan elemen keselesaan, anda boleh memilih rak atau bekas menyimpan barang yang kemas dan ringkas. Misalnya, anda boleh memilih katil yang mempunyai ruang atau rak menyimpan barang di bahagian bawah.
Katalog 2011 IKEA yang baru dilancarkan di Mutiara Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini boleh dijadikan panduan untuk menghias kediaman. Sempena musim perayaan dan cuti sekolah yang bakal tiba, pasti ramai berminat menyusun atur kediaman agar nampak lebih kemas dan selesa.
Lengkap dengan pelbagai maklumat seperti harga, katalog terbaru itu memudahkan pelanggan memilih barangan yang berkenan di hati dengan pantas.
Katalog edisi ke-60 itu menyusul selepas kali pertama diperkenalkan kepada umum oleh pengasas IKEA, Ingvar Kamprad pada tahun 1951. Katalog IKEA merupakan terbitan komersial terbanyak yang diedarkan kepada isi rumah di seluruh dunia malah dibaca hampir 40 juta penduduk di 41 negara. IKEA Malaysia mengedarkan sebanyak 800,000 katalog 2011 di Lembah Klang sejak 4 Oktober lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: