|
|
SELEPAS kejayaan demi kejayaan yang dibuktikan rakyat negara ini melalui beberapa pengembaraan jarak jauh, seorang lagi tampil untuk membuktikan sesuatu yang luar biasa.
Berbeza dengan pengembaraan bermotor sebelum ini, keazaman yang tinggi akan membawa Winston Siaw, 33, ke London, United Kingdom dengan berbasikal.
Winston dijadual memulakan perjalanan solo sejauh 25,000 kilometer pada 22 Oktober (semalam) dari Singapura.
Winston berkata, perjalanan yang merentasi Malaysia, Thailand, Laos, China, Kazakhstan, Rusia, Turki dan beberapa negara Eropah itu akan mengambil masa setahun.
Kecekalan penolong penyunting laman web yang bertugas di Singapura itu untuk melakukan kayuhan jarak jauh itu didorong minat yang tinggi pada sukan berbasikal dan fotografi.
“Pengembaraan ini diharap dapat memupuk kesedaran awam terhadap masalah pencemaran yang dihadapi dunia pada masa sekarang.
“Dengan berbasikal kita bukan sahaja mengurangkan pembebasan karbon malah dapat menguruskan sumber tenaga dengan lebih baik,’' katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pada majlis itu, Winston menerima tajaan lensa kamera berjenama Tamron yang disampaikan oleh Pengarah Jualan Futuromic Photo AV, Jeffrey Ng.
Penajaan kedua adalah sebuah kamera Canon 60D yang disumbang oleh wakil VBG Network Sdn. Bhd., Datuk Syed Mestaddin.
Tanpa hajat untuk membuktikan sebarang rekod, Winston yang menggunakan wang simpanan berjumlah kira-kira RM10,000 bercadang untuk bekerja secara sambilan di beberapa negara sepanjang pengembaraan itu.
“Saya tidak tahu apakah cabaran sebenar yang menanti di depan tetapi akan berusaha untuk meneruskan perjalanan sehingga ke London.
“Perkembangan semasa seperti maklumat dan gambar-gambar destinasi di sepanjang penggembaraan ini akan dimuaturun ke dalam laman web,” katanya.
Winston yang berkecimpung di dalam sukan berbasikal sejak tiga tahun lalu sebelum ini pernah melakukan kayuhan dari Bangkok ke Kemboja dan Loas ke Vietnam.
Maklumat mengenai pengembaraan boleh diperolehi di laman web www.223go.com.my.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: