|
|
SELAMA tiga hari 'berkampung' di Kuala Lumpur, bermula dari 10 hingga 13 Oktober lalu, sempena Sidang Kemuncak Wanita-Wanita Pertama 2010, wanita-wanita pertama dan delegasi mereka telah dibawa menerusi pelbagai program.
Antaranya ialah sesi makan malam bersama Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya, melihat persembahan kebudayaan di Istana Budaya, berkunjung ke Kompleks Kraf di Jalan Conlay dan seterusnya melihat aktiviti dan berkongsi pengalaman melawat Pusat Anak Permata Negara (PAPN) di Putrajaya.
Antara yang turut mencuri perhatian sepanjang kehadiran mereka sama ada di dewan persidangan mahupun majlis sampingan ialah fesyen yang ditampilkan para delegasi yang terdiri daripada 15 wanita pertama, enam lagi wakil kepada wanita pertama dan 20 menteri.
Para wanita pertama ini nyata begitu berbangga mengenakan pakaian tradisional negara masing-masing.
Ini terutamanya wanita-wanita pertama dari negara rantau Afrika dengan rekaan fesyen dan hiasan kepala yang begitu menonjol.
Setiap pandangan mata pasti tertarik dengan keunikan gaya yang ditampilkan termasuk pemilihan warna-warna terang yang ceria.
Ia sekali gus memperlihatkan kebanggaan mereka memperkenalkan seni tekstil dan kebudayaan dari negara yang mereka wakili.
Wanita Pertama Mauritius, Sarojini Jugnauth pula pada kebanyakan acara memilih persalinan sari dengan warna-warna lembut tanpa perlu sarat dengan hiasan.
Ada juga delegasi yang memilih pakaian serba ringkas sebagaimana Wanita Pertama Zambia, Thandiwe Banda yang menyarungkan gaun panjang dengan corak-corak batik Afrika dan dipadan dengan beg tangan yang disandang.
Pada persidangan itu, wanita-wanita pertama ini juga dilihat teruja dengan persembahan fesyen yang dipertontonkan pada hari ketiga iaitu persembahan fesyen hasil kolaborasi antara Nusantara Gems Sdn. Bhd. dan Kraftangan Malaysia yang membariskan pereka fesyen handalan Malaysia antaranya Tom Abang Saufi, Calvin Thoo, Khadani, Nazari, Sharifah Kirana dan Rozi.
Sebanyak 60 rekaan fesyen dipertontonkan dalam suasana harmoni ketika majlis makan tengah hari.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: