|
|
FESYEN dan wanita tidak dapat dipisahkan bahkan tiada istilah ketandusan idea untuk pereka-pereka fesyen di negara ini memperlihatkan rekaan masing-masing yang menarik dan hebat.
Bagi mereka yang gemarkan jenama Carlo Rino, pastinya terkejut kerana selama ini jenama tersebut begitu sinonim untuk aksesori seperti kasut, beg tangan serta dompet tetapi kini telah mengembangkan lagi produknya dengan memasarkan koleksi fesyen pakaian.
Koleksi tersebut menemui penggemar fesyen sempena pelancaran butik Carlo Rino terbaru di pusat membeli-belah Fahrenheit 88, Bukit Bintang.
Mengetengahkan koleksi yang bersesuaian dengan cuaca panas di Malaysia, fesyen santai tanpa menyesakkan fikiran untuk memilih fabrik, corak dan reka bentuk terbaru untuk dipadankan dalam apa juga gaya.
Begitu juga dengan koleksi terbarunya, Carlo Rino tidak ketinggalan menampilkan himpunan beg tangan serta kasut menawan dan menambat hati.
Jenama yang terkenal dengan kualiti pembuatan beg kulit, kasut, dompet dan aksesori lain itu, cuba menakluk hati penggemar fesyen terutama golongan muda dengan rekaan inovatif dan lebih eksklusif.
Koleksi terbaru itu didatangkan dalam warna ceria mengikut aliran cita rasa fesyen terkini.
Menampilkan koleksi seperti Spot On!, Charmed Totes, Livin' Large, Subtle Chic, Jet Luxe, Class Act dan Love is Evergreen, rekaannya memberikan kebebasan untuk bergaya mengikut keselesaan diri sendiri di samping memastikan pemakainya mengetahui gaya bersesuaian untuk kelihatan menarik.
Dapat dilihat, beg dan kasut yang dihasilkan khusus untuk memenuhi keperluan, cita rasa untuk penggunaan suasana dan masa berbeza.
Selain menampilkan kasut bertumit tinggi, kali ini Carlo Rino turut mengetengahkan gaya kasut rendah atau leper.
Ia merupakan rekaan baru yang menarik dan paling sesuai untuk golongan muda.
Untuk melengkapkan gaya yang sepadan, mungkin boleh gandingkannya dengan tas tangan bersesuaian. Bagi peminat Carlo Rino koleksi Evergreen dan rekaan bercorak atau monogram, himpunan itu terdapat dalam pelbagai corak warna, rekaan dan saiz.
Setiap rekaan ditambah dengan beberapa elemen dan lengkap dengan sedikit aksesori emas untuk melengkapkan gaya anda.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: