Sunday, October 24, 2010

Ingat Oktober ingat kanser payu dara


Para tetamu dan selebriti menggayakan beg Pink Couture pada majlis pelancarannya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


PERNAHKAH terfikir mengapa perlu diwujudkan hari atau bulan sambutan memperingati sesuatu penyakit.

Tidak lain tidak bukan adalah untuk menimbulkan kesedaran sekali gus membuka mata orang ramai tentang betapa perlunya mereka mengambil sesuatu inisiatif sama ada pada diri sendiri mahupun ahli keluarga yang ada mengalami sesuatu penyakit tersebut.

Bak kata pepatah yang sering kita dengar, mencegah lebih baik dari mengubati. Sebab itu kempen kesedaran kesihatan diuar-uarkan dengan meluas supaya orang ramai sedar akan simptom sesuatu penyakit boleh mengambil langkah awal bagi membendung ia daripada terus melarat.

Istimewanya bulan Oktober memang sinonim dengan bulan kesedaran tentang penyakit kanser payu dara. Warna merah jambu juga seakan warna rasmi bagi kempen kesedaran ini yang pastinya berkait secara langsung dengan wanita.

Amat memeranjatkan apabila perangkaan Pendaftar Kanser Kebangsaan menunjukkan bahawa hampir 70,000 kes baru barah payu dara direkodkan dalam tempoh dua tahun ini menjadikan ia antara pembunuh utama wanita di Malaysia.

Saban tahun pelbagai kempen kesedaran dijalankan oleh pihak hospital, pertubuhan kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Mereka bergabung menganjurkan pelbagai aktiviti bagi membuka mata masyarakat tentang bahaya penyakit ini.

Menariknya kempen kali ini menggabungkan pereka fesyen tanah air terkenal, Bill Keith bersama Great Eastern Life Assurance (M) Berhad menghasilkan sebanyak 3,000 beg guna semula eksklusif.

Ia juga adalah sebagai salah satu usaha pihak Hospital Gleneagles Kuala Lumpur dalam mengumpul dana bagi kempen Pink October yang dianjurkan mereka.

Beg kanvas guna semula rona putih gading dengan motif reben merah jambu (simbol rasmi kempen kanser payu dara) itu, memang menarik digayakan terutama ketika keluar membeli-belah.

Walaupun ia direka oleh pereka fesyen tersohor harga jualannya cuma RM25 untuk satu unit. Ini semua kerana kempen tersebut mensasarkan pengumpulan dana sebanyak RM75,000 untuk disalurkan kepada Persatuan Kebajikan Pesakit Kanser Payu Dara Malaysia (BCWA).

Tahun lalu Gleneagles telah berjaya mengumpul RM50,000 menerusi jualan selendang juga berwarna merah jambu yang direka eksklusif oleh pereka fesyen antarabangsa, Zang Toi.

Dalam pada itu pelancaran kempen Pink Oktober telah disempurnakan oleh pereka kasut antarabangsa yang tidak asing lagi, Datuk Jimmy Choo.

Pemilihan Choo mungkin ada signifikannya apabila ibu kepada bekas pereka kasut mendiang Puteri Diana itu, adalah salah seorang daripada mereka yang telah terselamat serangan kanser payu dara.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim; pemilik Rafflesia Pearl Centre, Winnie Sin dan pakar perunding bedah kanser payu dara dari Hospital Gleneagle, Datuk Dr. Suseela Nair.

Gandingan selebriti, ratu cantik, peragawati dan pereka fesyen, memperagakan beg tersebut di ruang legar pusat membeli-belah Great Eastern Mall, Kuala Lumpur.

Antara selebriti yang terlibat ialah Deja Moss, Salamiah Hassan, Bob AF, Farhan; bekas Ratu Malaysia, Soo Wincci; peragawati, Zahnita dan pereka fesyen, Raff Rafael.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Amir Firdaus, berkata, kempen tersebut merupakan salah satu dari tanggung jawab sosial yang dikelolakan oleh hospital itu.

"Program ini sebagai menunjukkan sokongan kami kepada wanita khususnya yang menghidap kanser payu dara," katanya.

Presiden BCWA, Ranjit Kaur pula berkata, sebanyak 10 peratus daripada jumlah kutipan jualan amal itu akan disalurkan sebagai sokongan kepada pesakit barah payu dara yang memerlukan payu dara prostesis.

Beg Pink Couture itu akan mula dijual di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur dan juga pusat membeli belah Great Eastern Mall pada 31 Oktober ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: