|
|
Tanpa kita sedari Piala Bardhan yang diadakan setiap tahun yang menghimpunkan pemain dari kaum India bagi setiap negeri, sudah memasuki edisi ke-53 dan merupakan antara kejohanan paling tua di Malaysia.
November ini kejohanan yang dianjurkan oleh Majlis Sukan India Malaysia (MISC) itu sekali lagi bakal membuka tirai dengan kehadiran 14 pasukan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Kuala Lumpur yang merupakan juara bertahan akan memulakan aksi pertama Piala Bardhan menentang Melaka dalam saingan Kumpulan A Zon 1 (tengah) yang bakal diadakan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 13 November.
Edisi pertama kejohanan ini diadakan pada 1941 dan sejak dari itu ia diadakan setiap tahun kecuali pada Perang Dunia Kedua di antara 1942 hingga 1948, sebelum ia diteruskan pada 1949 sampai sekarang melibatkan negeri di semenanjung Malaysia.
Piala Bardhan ini diberi nama bersempena Mejar Jeneral Dr. Pramatha Nath Bardhan, yang menjadi inspirasi meneruskan kejohanan ini dan piala kejohanan ini juga adalah hasil derma dari keluarganya.
Apa yang menarik bagi saingan tahun ini ialah penyertaan kali pertama negeri pantai timur, Terengganu yang diundi bersama dalam Kumpulan D Zon 2 (tengah) bersama-sama Putrajaya dan Pahang.
Menurut Presiden MISC, Datuk S. Subramaniam, kejohanan kali ini bertambah menarik dengan kehadiran pasukan Terengganu buat pertama kali mengambil bahagian yang melibatkan empat kumpulan.
"Kejohanan ini tidak melibatkan peringkat umur tetapi pemain yang disenaraikan tidak melebihi umur 32 tahun, saya jangkakan ia akan bertambah sengit dengan sokongan yang bakal diberikan oleh penyokong masing-masing," katanya pada sidang media selepas Pelancaran dan Undian Piala Bardhan 2010 baru-baru ini.
Pasukan yang berjaya meraih kejuaraan tahun ini akan membawa pulang RM20,000 beserta piala, sementara naib juara RM10,000. Perlawanan akhir akan diadakan pada 18 Disember.
" Seperti semua orang tahu kejohanan ini sentiasa melahirkan banyak bakat baru dalam sukan bola sepak di Malaysia, kita juga sedang berusaha untuk menyertai Liga Malaysia secepat mungkin, di mana sasaran kami mungkin pada 2012.
"Saya sangat sedih kerana kami tidak berjaya menyertainya tahun depan, namun kami tetap berusaha sedaya upaya untuk merealisasikan impian ini dengan bantuan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, FAM sentiasa membuka ruang buat MISC untuk menyertai Liga Malaysia walaupun mereka dilihat masih kurang bersedia mengambil bahagian pada tahun depan.
"Ini adalah satu pertandingan yang besar, jika mereka masih belum bersedia tahun depan, mungkin pada 2012 mereka boleh mengambil bahagian, banyak bakat baru bola sepak bakal dilahirkan dengan kehadiran lebih banyak pasukan," katanya.
Pasukan Kuala Lumpur dan Melaka di letakkan dalam Kumpulan A bersama PDRM dan Selangor, manakala bagi Kumpulan B Zon Selatan menampilkan Negeri Sembilan, ATM dan Johor.
Kumpulan C yang terdiri daripada pasukan Zon Utara menyaksikan Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis diundi dalam satu kumpulan, sementara Kumpulan D terdiri daripada pasukan Terengganu, Pahang dan Putrajaya.
Juara kumpulan akan mara ke saingan separuh akhir yang diadakan secara timbal balik pusingan pertama pada 4 dan 5 Disember manakala pusingan kedua 11 dan 12 Disember.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: