Sunday, October 24, 2010

Mendung di Liverpool


Ribuan peminat Liverpool masih menaruh harapan terhadap pasukan kesayangan mereka untuk bangkit semula.


TUJUH perlawanan baru berlalu, namun di Merseyside, iklim mendung sudah berarak di kalangan penyokong Liverpool yang mungkin sukar mempercayai bahawa kelab kesayangan mereka kini berada di zon penyingkiran liga.

Keputusan 1-0 ke atas West Brom hasil jaringan tunggal Fernando Torres merupakan satu-satunya kemenangan Liverpool pada musim ini selain tiga keputusan seri dan tiga kekalahan.

Bertambah menghibakan perasaan penyokong setia The Reds, kekalahan mengejut 1-2 di tangan pendatang baru, Blackpool di Anfield, sudah cukup menceritakan bahawa Hodgson semakin terseksa dalam memenuhi harapan tinggi Liverpool.

Tidak dinafikan, sebelum tirai Liga Perdana England bermula, Liverpool dilihat antara kelab cukup ghairah selain Manchester City mendapatkan ramai pemain baru bagi memperbaiki pencapaian hambar tahun lalu.

Antara muka baru yang dibawa masuk ialah Joe Cole, Milan Jovanovic, Raul Meireles, Christian Poulsen dan Paul Konschesky manakala Javier Mascherano dijual kepada Barcelona sementara Alberto Aquilani dipinjamkan ke Juventus.

Namun, ketika ramai pemerhati menjangkakan Liverpool mampu melakukan sesuatu pada musim ini, perkara sebaliknya berlaku apabila taktikal yang cuba diserapkan oleh Hodgson menjadi persoalan.

Walaupun cemerlang membimbing Fulham mara ke perlawanan akhir Liga Europa, dia bagaikan kehilangan sentuhan magis di Liverpool dan masa depannya kini menjadi persoalan besar.

Ramai pemerhati berpendapat corak hantaran pendek yang dibawa oleh Hodgson kurang sesuai di Liverpool yang sebelum ini dikenali sebagai sebuah pasukan mengamalkan permainan hantaran jauh yang tepat.

Mungkin masih terlalu awal untuk menilai sama ada Hodgson akan berjaya membawa dimensi baru di Liverpool tetapi pertaruhannya jelas masih belum menjadi.

Hakikat itu diperakui oleh Hodgson sendiri yang berkata Liverpool sedang bergelut di zon penyingkiran selepas kekalahan di tangan Blackpool.

“Situasi sekarang sememangnya cukup serius. Sekiranya anda berada di tangga ketiga terakhir, anda perlu berjuang dalam zon penyingkiran dan saya terpaksa menerima hakikat itu, ’’ katanya.

Bagaimanapun, pembelian barunya didapati kurang menjadi terutama Poulsen yang bagaikan tiada fungsi setiap kali turun beraksi malah tidak keterlaluan untuk memperkatakan kehadirannya bagaikan penumpang dalam kesebelasan utama.

Selain itu, Konchesky yang gemar membantu bahagian serangan dengan banyak melakukan larian deras dari sebelah kiri kerap kali tetapi kelemahannya dapat dihidu apabila sering lambat turun membantu barisan pertahanan jika pasukan lawan melakukan serang balas.

Manakala Jovanovic yang jarang diturunkan masih belum diberikan peluang oleh Hodgson untuk membuktikan apa yang boleh dia berikan kepada Liverpool biarpun mempunyai kekuatan fizikal yang baik.

Bekas bintang Chelsea, Cole jelas masih belum panas manakala aksi Meireles masih terlalu awal untuk diperkatakan namun dia boleh diharapkan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Mascherano.

Pada minggu ini, nasib Hodgson mungkin bertambah malang sekiranya gagal mengatasi seteru utama mereka di Merseyside iaitu Everton.

Satu lagi kekalahan mungkin memaksa ahli lembaga kelab itu membuat keputusan sukar dengan memecat Hodgson daripada terus mengemudi Liverpool.

Buat masa ini, masa depan Liverpool juga menjadi teka-teki apabila sudah terdapat dua pihak menyatakan minat untuk memiliki kelab bola sepak legenda dunia itu.

Pemilik kelab besbol Boston Red Sox, Larry Lucchino yang juga bos New England Sports Ventures antara calon berpotensi mendapatkan Liverpool selepas keputusan badan penghakiman Britain tidak memihak kepada pemiliknya, Tom Hicks dan George Gillett Jr.

Satu lagi calon berpotensi ialah ahli perniagaan Singapura, Peter Lim yang turut menyatakan minat dengan menaikkan tawaran hingga 320 juta pound (RM 1.58 bilion) dengan tambahan 40 juta pound (RM 197 juta) untuk membeli pemain baru.

Sebelum ini, ahli lembaga Liverpool bersetuju untuk menentang hajat Hicks dan Gillett untuk menjual kelab kepada NESV dengan harga 300 juta pounds (RM 1.48 bilion) yang memaksa kes itu dibawa ke muka pengadilan.

“Keputusan ini membuka jalan untuk jualan dibuka. Kami akan mengadakan mesyuarat lembaga petang ini (semalam) dan akan meneruskan proses penjualan,” ujar pengerusi Broughton di luar mahkamah selepas keputusan.

Pemilik terdahulu mendakwa harga tersebut rendah, oleh itu Liverpool tidak boleh menjual kelab itu kepada pembeli baru.

Hakim yang mendengar pertikaian selama lima jam dalam kes kelmarin memutuskan bahawa Hicks dan Gillett ‘tidak mempunyai hak total dalam penjualan’.

“Dalam keadaan ini, adalah salah sama sekali untuk memenuhi kehendak pemilik semata-mata, ” tambahnya.

Keputusan itu adalah kejayaan buat Broughton, pengarah pengurusan, Christian Purslow dan pengarah komersial, Ian Ayre.

Namun, pemilik dari Amerika Syarikat telah melancarkan usaha terakhir untuk menghalang jualan dilakukan sekalipun Mahkamah Tinggi Britain kelmarin mengeluarkan arahan Hicks dan Gillett tidak boleh menghalang penjualan.

Krisis pemilikan kelab itu mungkin serba sedikit boleh menjejaskan moral pemain dan pegawai Liverpool dalam menghadapi musim yang dijangka mencabar buat The Reds.

Sekalipun perjalanan liga masih panjang, Roy Hodgson sedar dia perlu mengubah pencapaian buruk Liverpool jika masih berminat memegang kerusi panas di Merseyside sehingga akhir musim.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: