|
|
SELAMA tiga tahun berturut-turut, Mathieu Richard sering mendominasi pusingan awal Jelajah Match Racing Dunia (WMRT), namun tidak pernah bernasib baik dalam perebutan kejuaraan dunia apabila terus gagal memburu gelaran pertama.
Namun kali ini, juragan Perancis itu mengharapkan 'tuah' Malaysia akan membantunya merangkul kejuaraan yang diidamkan selama ini apabila beraksi pada Piala Monsun 2010, yang bakal menjadi pusingan terakhir dalam kalendar WMRT 2010, bulan depan.
Perlumbaan yang akan berlangsung di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa, Pulau Duyong, Terengganu pada 30 November hingga 5 Disember ini bakal menobatkan juara dunia 2010. Namun, cabaran tidak mudah buat Richard kerana masih ada lima juragan yang berada pada kedudukan untuk muncul juara.
Antara juragan tumpuan yang mampu menjadi penghalang terbesar Richard pastinya penyandang juara dunia dan juara Piala Monsun 2009, Adam Minoprio dari New Zealand yang meneraju pasukan Black Match. Minoprio hanya dipisah 15 mata di belakang Richard, yang mengetuai saingan dengan 105 mata.
Turut mampu menjadi pencabar adalah juragan pasukan Teamorigin, Ben Ainslie dari Britain, pemenang pingat emas berganda Sukan Olimpik 2008. Ainslie ditinggalkan dua mata di belakang Minoprio tetapi berada pada momentum terbaik selepas menjuarai pusingan kedua terakhir musim ini pada Piala Emas Argo, minggu lalu.
Dua lagi juragan yang masih berada pada kedudukan untuk memburu kejuaraan dunia adalah Torvar Mirsky (Australia) dari pasukan Mirsky Racing (76 mata) dan juara dunia kali, Ian Williams (Britain) dari GAC Pindar dengan 72 mata. Pemenang Piala Monsun akan mengutip 38 mata.
Juragan Radich Racing, Jesper Radich dari Denmark (60 mata), Francesco Bruni (Itali) dari pasukan Azzurra (53) serta Peter Gilmour (Australia) dari Yanmar Racing (51) pula memperoleh tiket automatik beraksi di Piala Monsun dengan menduduki kedudukan lapan terbaik WMRT.
Tiga lagi juragan akan melengkapkan 13 slot Piala Monsun dan ia akan diisi oleh juara Kejohanan Match Racing Malaysia (MMRC) yang akan ditentukan di Pulau Duyong hari ini, juara Match Racing Asia (AMRC) dari 25-28 Oktober dan juara Piala Australia (24-27 November).
Richard terbukti antara juragan paling konsisten musim ini dengan kejayaan menjuarai tiga gelaran WMRT iaitu Match Racing Perancis, Piala Match Korea dan Match Racing St Moritz. Bagaimanapun, dia mempamer aksi buruk dalam penampilan terakhir di Piala Emas Argo minggu lalu apabila gagal melangkah ke suku akhir.
Dengan lima lagi juragan masih berada pada kedudukan baik untuk memburu kejuaraan dunia, saingan Piala Monsun tahun ini bakal menghadirkan aksi paling sengit dan menarik untuk ditonton seluruh peminat pelayaran dunia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: