Monday, October 4, 2010

Origami raja sehari


KAKITANGAN hotel Crowne Plaza Mutiara berganding bahu menyiapkan 1,000 keping origami.


PADA bulan Oktober ini, ramai pasangan yang bakal melangkah ke gerbang perkahwinan. Ramai yang memilih meraikan hari bahagia itu pada 10 Oktober 2010.

Sehubungan itu, kebanyakan hotel tidak melepaskan peluang menganjurkan pameran dan pakej-pakej raja sehari selain menerima banyak tempahan untuk majlis-majlis perkahwinan.

Hotel Crowne Plaza, Kuala Lumpur misalnya, sibuk menyediakan 1,000 origami khas buat raja sehari yang paling bertuah. Selain itu, pasangan pengantin turut berpeluang menerima hadiah perkahwinan istimewa melalui peraduan-peraduan yang dianjurkan.

“Seluruh staf hotel bekerjasama membuat origami. Origami yang juga dipanggil Senbazuru ini merupakan seni tradisional yang berasal dari Jepun.

“Sebanyak 1,000 origami yang akan diberikan kepada pengantin yang mempunyai 1,000 kata indah. Kata-kata tersebut memberi makna pengantin tersebut akan dirahmati untuk seribu tahun kebahagiaan dan kekayaan di dalam hidup,” kata Pengurus Marcom Hotel Crowne Plaza Mutiara, Jacqueline Wong.

Menurut Jacqueline, origami dihasilkan dengan menggunakan kertas berwarna yang dicetak khas berukuran 10 sentimeter (sm) panjang x 10sm lebar.


ORIGAMI yang juga dipanggil Senbazuru merupakan seni tradisional yang berasal dari Jepun.


Ukuran kertas tersebut memudahkan origami berbentuk angsa dicipta mengikut kreativiti pereka.

Bagi penyelia Hotel Crowne Plaza Mutiara, M. Ramesh, 33, aktiviti membuat origami memberi keseronokan kerana ia merupakan seni yang cantik.

“Pertama kali buat origami, saya rasa susah sebabnya banyak kali tak jadi. Jika jadi pun bentuk angsa tersebut tidak begitu cantik,” katanya.

Sementara itu, bagi penyambut tetamu Hotel Crown Plaza Mutiara, Ooi Yi Lin, 22, dia akan membuat origami pada waktu rehat atau senggang.

“Aktiviti membuat origami mengelakkan saya daripada merasa bosan ketika bekerja. Secara tidak langsung, saya juga dapat membuat raja sehari merasa bahagia dengan kata-kata indah yang terdapat pada setiap origami,” katanya.

Mereka yang bakal menjadi raja sehari dijemput untuk mendaftarkan diri menyertai pameran, pertandingan dan sambutan perkahwinan yang disediakan oleh Hotel Crowne Plaza Mutiara. Pameran tersebut dibuka kepada semua bakal pengantin daripada pelbagai kaum.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: