Monday, October 4, 2010

Dansa antarabangsa di Sepang Goldcoast


ROSALIND (kanan) dan pengurus resort, Bill Vincent menunjukkan poster pertandingan Golden Palm Tree International Dance Championship 2010.


MULA meminati tarian sejak 10 tahun lalu ketika usianya genap setengah abad, ia tidak menghalang wanita bernama Rosalind Lim untuk cenderung dengan lebih serius dalam dunia itu.

Menganggap ia sebagai salah satu hobi dan senaman, wanita berasal dari Singapura itu mempunyai alasan tersendiri mengapa memilih gerak tari sebagai aktiviti masa lapang.

Apabila ditanya alasan tersebut, Rosalind yang kini berusia 60 tahun, dengan pantas memberitahu, dia amat meminati muzik sekali gus dunia tarian merupakan pilihan terbaik.

"Saya tidak suka ke gim kerana ia agak bosan. Biasanya di gim masing-masing buat hal sendiri. Keadaan di sana biasanya sibuk dengan orang ramai, tetapi lebih memberi fokus menggunakan alat senaman.

"Berlainan dengan tarian, anda boleh berlatih dengan iringan muzik yang diminati. Di samping itu, kita juga boleh berinteraksi dengan pasangan," terangnya yang juga merupakan wakil dari Sepang Goldcoast.

Meskipun tidak pernah mengikuti sebarang pertandingan tarian, Rosalind masih berbangga kerana mampu menguasai teknik tarian yang diminatinya iaitu latin, ballroom dan street.

Disebabkan terlalu obses, Rosalind merasakan sudah tiba masanya dia membuka langkah untuk menganjurkan pertandingan tarian yang disertai oleh barisan penari profesional dari seluruh dunia.

Tambah Rosalind, peserta akan bersaing secara sengit termasuk dengan pasangan penari profesional seperti Warren dan Christie Boyce, Mathew Rooke dan Anna Longmore serta Samhunter dan Charlotte Plant.

Memilih Golden Palm Tree Resort & Spa di Sepang Goldcoast, Selangor sebagai lokasi pertandingan Golden Palm Tree International Dance Championship 2010 (GPTIDC), pertandingan itu bakal diadakan pada 28 dan 29 Oktober ini.


PERTANDINGAN tarian antarabangsa di Sepang Goldcoast bakal disertai barisan penari profesional dari seluruh dunia.


"Pada 28 Oktober tiada sebarang pertandingan akan dijalankan, cuma majlis perasmian dan bengkel tarian yang boleh disertai oleh orang ramai.

"Pada 29 Oktober pula pertandingan bermula pada pukul 9 pagi hingga 4 petang. Harga tiket untuk menjadi penonton pada sesi ini berharga RM80," jelasnya.

Bagaimanapun, pertandingan hebat tersebut tidak akan berhenti di situ sahaja kerana setiap juara kategori tarian iaitu Argentina tango, latin, ballroom dan salsa akan mengadakan persembahan lebih memukau pada sebelah malam.

Bermula dari pukul 6.30 petang tetamu dihidangkan dengan juadah makan malam sambil dihiburkan oleh pemenang. Namun, harga tiket pada sebelah malam dikenakan mengikut susunan meja iaitu serendah RM300 hingga RM800 seorang.

Suasana malam itu dijanjikan dengan hiburan cukup bermakna apabila tetamu yang hadir sekali lagi dapat menyaksikan kehebatan tarian penuh energetik dan dramatik.

"Pembeli tiket yang awal akan mendapat potongan 20 peratus dan ia dibuka sehingga 8 Oktober ini sahaja. Selain itu, GPTIDC turut memberi peluang menginap di Traveler Villa dengan tawaran harga RM500 semalaman termasuk sarapan pagi," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: