Sunday, October 3, 2010

Mahu kumpul pengalaman

EMPAT tahun berkelana sebagai pelakon, Juliana Evans belum mampu meletakkan dirinya sebaris dengan pelapis yang jauh lebih menonjol. Hadirnya dalam industri sekadar ada serta meramaikan bakat, malah watak dibawa juga belum cukup kuat untuk dijadikan kayu pengukur kemampuan sebenarnya.

pix_middle
pix_topright


Adakah kerana tuahnya kurang hingga laluan untuk ‘memikat’ pengarah dan penerbit membariskannya sebagai wajah utama produksi tidak semudah disangka? Barangkali itu dulu, sekarang dia mampu menarik lafaz lega.

Jelas Juliana sambil melemparkan senyuman manis, sepanjang tahun ini tawaran berlakon kian kencang. September hingga penghujung Oktober ini rutin kerjaya penuh dengan penggambaran drama Natrah, antara sejarah penting yang pernah menimbulkan kontroversi di kalangan rakyat Tanah Melayu satu ketika dulu.


Menariknya, bintang muda ini mendapat kepercayaan menghidupkan karakter berat yang bakal menyaksikan satu transisi persembahan berbeza daripadanya. Dialah Natrah, wanita muda malang yang terpaksa berpisah dengan ibu angkat dan suaminya selepas dituntut oleh ibu dan bapa kandungnya berbangsa Belanda.

“Alhamdulillah, ada pihak percaya dengan kemampuan saya menghidupkan watak berat ini. Insya-Allah saya akan buat sebaik mungkin.

“Jika sebelum ini sering membawa watak klise, Natrah bakal memberi cabaran berbeza kepada saya. Setidak-tidaknya saya dapat buktikan saya boleh bawa apa saja watak jika diberi peluang.

“Apabila ditawarkan menjayakan drama ini, saya sangat teruja. Lebih seronok bila dimaklumkan akan ada sesi latihan sebelum penggambaran bermula bagi memastikan setiap pelakon yang terbabit dalam drama ini mampu memahami dan menjiwai watak dengan baik.

“Terus-terang, sebelum ini saya tidak tahu sejarah Natrah tetapi kisahnya mula menarik perhatian saya apabila dipentaskan di Istana Budaya hujung tahun lalu. Sejak itu saya berminat untuk mengetahui kehidupan Natrah dengan lebih mendalam dan tak sangka pula saya ditawarkan watak ini untuk versi drama,” katanya.

Selain rancak melakukan persediaan Natrah, gadis bertubuh genit ini baru saja selesai penggambaran siri Inikah Cinta arahan Saw Teong Hin yang dipanjangkan dari klip video Inikah Cinta nya­nyian Akim AF.

Menerusi projek khas Cornetto ini, Juliana menghidupkan watak gadis pujaan Akim yang memaparkan jalan cerita menarik. Siri 16 episod ini akan menemui penonton menerusi saluran Astro Ria, Oktober ini.

Selain itu, rutin hariannya bakal sibuk dengan agenda promosi bergerak produk pakaian popular Voir di pusat pengajian tinggi awam dan swasta sekitar Lembah Klang. Dalam masa sama dia turut ditawarkan mengacara beberapa program, namun tidak bersedia mendedahkannya kerana belum ada hitam putih.

Berbicara lanjut perjalanan seni­nya sebagai pelakon, si cantik yang menceburi dunia pengacaraan sejak berusia 12 tahun ini berkata, dia tidak meletakkan populariti sebagai keutamaan, malah tidak pernah dijentik rasa kecewa andai kurang tawaran kerana sasarannya adalah mendapatkan pengalaman sebanyak mungkin untuk menajamkan bakat sebagai anak seni selain pendapatan diperoleh boleh menampung yuran pengajiannya.

“Saya tidak kisah andai orang cakap saya lambat naik kerana saya perlu membahagikan masa antara kerjaya dan pelajaran. Daripada awal pembabitan, saya sentiasa ingatkan diri supaya utamakan pelajaran tapi dalam masa sama tidak melepaskan tawaran yang datang depan mata.

“Saya hanya berlakon pada hujung minggu dan ketika cuti semester. Memandangkan masa terhad, saya terpaksa jadi lebih selektif dengan memilih skrip bagus. Biarlah tidak banyak keluar di TV asalkan saya gembira dengan apa yang saya buat.

“Jika tamat pengajian nanti bolehlah saya fokuskan sepenuh perhatian terhadap bidang lakonan dan pengacaraan. Insya-Allah ada lebih rezeki untuk saya ketika itu.

“Soal populariti saya tolak ke tepi kerana ia akan datang sendiri jika kerja kita bagus. Saya juga tidak kejar anugerah, kalau nama disenaraikan sebagai calon itu satu bonus dan membahagiakan saya.

“Misi sebenar saya adalah mendapat watak dan program yang bagus. Saya mahu dikenali kerana hasil kerja saya dan itu yang akan buat saya rasa puas bila berada dalam bidang ini,” kata penuntut tahun kedua Komunikasi Massa Kolej Sunway ini.

Diminta memberi komen ter­hadap suara sumbang yang melabelkannya sebagai ‘patung cantik’, Juliana menegaskan, dia tidak pernah jadikan wajahnya sebagai sandaran dalam meraih apa-apa tawaran atau peluang kerja.

Baginya, cantik itu subjektif dan untuk berada dalam bidang mencabar ini, seseorang itu tidak boleh bersandarkan kepada rupa semata-mata. Bakat harus berada di kedudukan teratas bagi memastikan jangka hayat kerjaya itu lebih panjang.

“Bukan sekali dua saya dengar orang cakap saya senang dapat kerja sebab ada rupa. Kalau ikut­kan memang hati terguris, tapi apa daya saya untuk menutup mulut mereka. Biarlah mereka bercakap apa saja, saya tidak mahu ambil pusing.

“Yang saya tahu, kalau tak boleh berlakon, orang tak akan ambil saya. Orang buat drama atau filem untuk untung, bukan mencari rugi.

“Ada juga yang cakap kalau muka pan-Asia tak boleh cari makan pada zaman sekarang sebab watak terhad. Bagi saya kata-kata itu tidak benar, jika penerbit dan pengarah beri kepercayaan dan mereka boleh ubah imej pelakon, tiada yang mustahil.

“Saya pernah jayakan drama epik berlatarkan tahun 1940-an, Warkah Terakhir yang mengisahkan perjalanan hidup pejuang kemerdekaan, Rosli Dhobi. Dalam drama ini imej saya diubah secara total dan dengan gaya sanggul, setia berkebaya dan tidak bersolek, saya nampak seperti gadis kampung pada zaman itu,” kata hos Era TV ini yang percaya kreativiti penting dalam menzahirkan sesuatu watak.

Melihat raut wajah pelakon filem Kami, Hooperz dan Adik Manja Return yang akan menggegarkan pawagam hujung tahun ini, ramai beranggapan artis ini sombong dan sukar didekati. Itu sekadar penilaian luaran bagi yang pertama kali mengenalinya, hakikat sebenar dia pemalu dan memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan orang sekeliling.

“Jangan salah faham, saya bukan sombong tapi pemalu. Saya boleh diam satu hari kalau rasa tidak berapa selesa dengan keadaan sekeliling. Bukan se­ngaja tidak mahu layan sesiapa, tetapi saya malu atau tidak biasa dengan mereka.

“Bimbang juga kalau terlebih ramah orang tidak suka, jadi lebih baik saya diam diri. Kalau orang bercakap dengan saya, lama-lama saya akan OK dan bila dah selesa mereka akan nampak perangai sebenar saya yang gila-gila.

“Mungkin melihat reaksi saya ketika mengacara, orang tidak akan percaya yang saya pemalu tetapi itulah diri saya yang sebenar,” katanya yang pernah mencuri perhatian ramai menerusi drama Kami dan Sayang Cendana.

Diusik adakah dia sudah bertemu cinta baru, bekas kekasih Sam Bunkface ini dengan pantas menjawab belum bersedia ­membuka pintu hati untuk mana-mana lelaki. Jujur, dia selesa sendirian kerana lebih mudah untuk fokuskan sepenuh tumpuan terhadap karier dan pelajaran.

Pun begitu, tegasnya, perpisahan itu tidak pernah buat dia serik dengan cinta, malah hubungannya dengan Sam masih baik seperti dulu. Tidak guna bermusuh atau berdendam kerana setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmahnya dan dia terima dengan terbuka.

“Kami berpisah atas persetujuan bersama dan ia dilakukan selepas berbincang secara baik. Buat masa ini saya tidak mahu fikir soal cinta, banyak lagi yang perlu diberi perhatian, lebih-lebih lagi tanggungjawab saya sebagai pelajar.
“Lagipun saya masih muda, perjalanan hidup masih jauh,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: