|
|
KEUPAYAAN dan kredibiliti wanita dalam dunia perniagaan hari ini tidak perlu disangkal lagi.
Ini kerana dari sehari ke sehari, semakin ramai wanita menerajui dan menguasai bidang tersebut meski pun terpaksa bertarung dengan seribu satu macam dugaan.
Begitu pun wanita di negara ini lazimnya memilih bidang niaga yang serasi dengan penampilan dan sinonim dengan perwatakan yang diwarisi seperti bidang kecantikan mahupun bidang fesyen.
Berbeza pula bagi Norhanim Md. Rasad, 28, yang cuba membuktikan wanita semakin berani dan bijak memilih bidang kerjaya berbeza kerana yakin dengan kebolehan sendiri.
Walaupun dikurniakan dengan perwatakan yang manis, lemah lembut serta berkulit halus, semua itu tidak membataskan pergerakan serta kerjaya yang dipilihnya hari ini.
Anak jati Selangor ini sememangnya 'menongkah arus' apabila mengambil keputusan untuk mengusahakan perniagaan yang berasaskan barangan untuk motosikal berkuasa tinggi.
Memulakan perniagaan sekitar Oktober 2008, Norhanim yang lebih mesra dengan panggilan Hanim sedikit pun tidak gentar malah berbangga dengan diri sendiri kerana mampu menceburi bidang yang selama ini dikuasai oleh kaum Adam.
Mendapat sokongan padu daripada suami tercinta, Hanim tidak menoleh ke belakang lagi apabila perniagaan yang diusahakan semakin maju.
Apabila ditanya mengenai minatnya yang bertentangan dengan naluri wanita-wanita lain, ibu kepada seorang cahaya mata itu tidak menafikan malah mengakui wanita dan kecantikan, bagaikan irama dan lagu yang tidak boleh dipisahkan.
''Mungkin masyarakat di luar sana terutamanya golongan lelaki tidak mempercayai kaum wanita mampu mengendalikan perniagaan yang berasaskan motosikal terutama sekali motosikal berkuasa tinggi.
''Saya akui, di awal pembabitan dalam perniagaanya ini hanya kerana minat suami tetapi lama-kelamaan saya jatuh 'cinta' malah sanggup belajar untuk memudahkan saya berkomunikasi selain tahu apa yang dikehendaki oleh peminat serta pemilik motor berkuasa tinggi ini.
''Hari ini, setelah dua tahun perniagaan ini diusahakan, Alhamdulillah segala-galanya berjalan lancar dan ia semakin berkembang,'' ujarnya ketika ditemui di premis perniagaannya yang terletak di Nombor 5, Jalan Besar, Batu 14, Hulu Langat, Selangor.
Kedainya yang terletak betul-betul di tepi jalan dengan bercat merah putih itu menjual produk yang kebanyakkannya diimport dari Singapura, China dan Indonesia.
Kini bergelar Pengurus kepada Darwish Accessories Bikers, Hanim bersama seorang pembantu akan memastikan perniagaannya dibuka setiap hari.
Walaupun sudah dua tahun mengusahakan perniagaan tersebut, bagi Hanim, beliau masih mentah dan masih banyak lagi yang perlu dipelajarinya.
Turut mengakui tidak mempunyai lesen dan tidak tahu menunggang motosikal, Hanim bagaimanapun tidak pernah menjadikan alasan tersebut sebagai penghalang untuk dia terus mengusahakan perniagaannya di samping meraih keyakinan pelanggan.
Ini kerana, sebagai individu yang sentiasa berfikiran jauh, dia merasakan perlu berusaha gigih untuk membuktikan bahawa tiada apa yang mustahil sekiranya ia dilakukan dengan bersungguh-sungguh.
''Benar kata pepatah, di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Impian yang disertai usaha tidak menghalang saya untuk mencapai cita-cita memiliki perniagaan sendiri.
''Saya tidak pernah berasakan diri telah mencapai kejayaan yang membanggakan dan rasanya saya belum layak menerima pujian.
''Pun begitu, saya amat bangga kerana mampu mengharungi cabaran perniagaan ini,'' katanya mengakhiri bicara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: