Tuesday, October 12, 2010

NCA cetus motivasi


AHMAD IDHAM menyampaikan penerangan mengenai dunia perfileman di Malaysia.


RUANG untuk para pelajar di universiti-universiti tempatan menonjolkan kreativiti masing-masing kini semakin terbuka luas.

Apatah lagi sebuah program anjuran Astro Entertainment Sdn. Bhd. (Astro) iaitu Nextgen Contenpreneur Awards 2010 (NCA) sedang mencari bakat-bakat baru dalam industri penyiaran.

Menemui pelajar-pelajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, baru-baru ini, siri jelajah dan bengkel NCA telah membuka kesedaran dan ruang untuk mereka mengasah dan menonjolkan idea.

Bengkel yang berlangsung di Dewan Kuliah 2, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), UiTM itu menampilkan pengarah filem yang turut menjadi juri dalam pencarian NCA iaitu Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Beliau menyampaikan penerangan mengenai kaedah menghasilkan sebuah filem yang berkualiti dan juga menilai persembahan idea-idea pelajar ketika bengkel tersebut berlangsung. Bengkel itu menjadi medan untuk para pelajar mengenali potensi diri sebelum menghantar penyertaan ke NCA.

Salah seorang peserta yang mengikuti bengkel itu, Ainoor Amirah Mohd. Noor, 24, ternyata teruja untuk menyertainya tatkala mengetahui penganjuran program tersebut.

“Setelah terbaca hebahan mengenai program NCA saya tidak ingin melepaskan peluang untuk menyertainya. Bengkel pada hari ini juga memberikan saya pengalaman untuk menghasilkan sebuah produksi yang berkualiti,” ujar pelajar tahun dua dalam jurusan penyiaran.

Ditanya mengenai perancangannya untuk menyertai NCA, Ainoor menjelaskan bahawa beliau akan mencalonkan sebuah hasil kerjanya bersama rakan-rakan bagi merebut anugerah yang dipertandingkan itu.

“Saya akan menghantar sebuah kandungan televisyen pendek bertajuk Zon 5. Ia juga adalah bahan yang kami gunakan untuk tugasan matapelajaran produksi televisyen,” katanya kepada Kosmo!.

Bagi seorang lagi pelajar yang menyertai bengkel tersebut, Muhamad Shukri Ahmad Faeli, 23, beliau mendapat input yang berguna terutamanya melalui pembentangan daripada Pengarah Suruhanjaya Komunikasi (SKMM) dan Multimedia, Roslan Mohamad.


SELEPAS mendengar taklimat, para peserta diberikan masa untuk berbincang bagi mengetengahkan idea.


“Kini saya tahu bahawa pihak SKMM menyediakan bajet dalam bidang penyiaran untuk anak-anak muda.

“Program NCA sebenarnya mampu membuka ruang untuk pelajar menjadi lebih kreatif dengan idea-idea baru dan tidak hanya meniru idea-idea dari luar sahaja,” kata pelajar jurusan penyiaran itu lagi.

Ketua Program Penyiaran, FKPM, UiTM, Khairuddin Othman, turut menyambut baik pencarian NCA dan bengkel yang berlangsung pada hari tersebut.

“Kedua-dua program ini mampu menjana minda kreatif di kalangan anak muda. Jika NCA membuka peluang untuk mereka menghantar penyertaan, bengkel pada hari ini juga mampu menyuntik motivasi kepada mereka,” katanya kepada Kosmo!.

NCA adalah sebuah program pencarian bakat baru dalam bidang penyiaran. Pelajar yang berminat menghantar penyertaan video untuk merebut gelaran Anugerah Kandungan Luar Biasa, Anugerah Dokumentari Revolusi dan lain-lain anugerah boleh berbuat demikian sebelum 8 November 2010.

Untuk maklumat lanjut mengenai NCA layari laman web di www.astro.com.my/ nca2010.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: