KETIKA pesaingnya, Heng Rui Yang Ryan dari Singapura gagal mengeja dengan betul perkataan silhouette, riak wajah Reuben John Abraham kembali ceria.
Sebelum itu, pelajar berusia 11 tahun tersebut sedikit cemas kerana dia juga tidak berjaya mengemukakan jawapan tepat untuk perkataan yang diberi kepadanya.
Sebaik Ryan kembali ke tempatnya, nama Reuben dipanggil. Seluruh dewan tertumpu pada pelajar darjah lima dari Sekolah Kebangsaan St. Francis di Melaka itu.
“Adakah anda sudah bersedia? Ingat, jika anda berjaya memberikan ejaan yang betul bagi perkataan silhouette, juara Pertandingan Mengeja Knowledge Discovery-Champs Asia Tenggara akan berada di dalam genggaman anda,” ungkap pengadil yang bertugas.
Dengan penuh berhati-hati tetapi yakin, satu demi satu huruf yang membentuk perkataan tersebut meluncur dari mulutnya.
“Tahniah Reuben! Jawapan anda tepat sekali,” kata-kata pengadil itu diiringi dengan tepukan gemuruh oleh penonton yang memenuhi dewan Sekolah Wawasan di Garden Homes, Seremban 2, Negeri Sembilan, lokasi berlangsungnya pertandingan tersebut.
Dianjurkan majalah Knowledge Discovery dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan CCM Pharmaceuticals Champs, pertandingan mengeja peringkat Asia Tenggara itu berlangsung buat kali pertama pada tahun 2010.
Ia disertai oleh enam pengeja terbaik dari Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina, Brunei dan Malaysia.
Program itu secara tidak langsung melakar sejarah dalam Pertandingan Mengeja Kebangsaan Knowledge Discovery-Champs yang telah berlangsung selama empat tahun bermula pada 2007 di Malaysia manakala di Brunei pada tahun 2009.
Bagi pertandingan peringkat kebangsaan, seramai 48 pelajar berusia di antara 10 hingga 12 tahun dari 13 buah negeri dan tiga Wilayah Persekutuan di Malaysia bersaing untuk menjuarai pertandingan mengeja dalam bahasa Inggeris itu.
Menurut Pengarah Kewangan Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM), Abd. Rahman Abdullah Thani, saingan di peringkat Asia Tenggara ini mewujudkan satu wadah baru untuk pelajar serantau menunjukkan kehebatan mengeja yang lebih kompetitif.
“Melaluinya, ia mampu menambah cabaran dan menyediakan suasana persaingan sihat dari negara masing-masing. Selain itu, ia turut menggalakkan interaksi budaya di kalangan peserta,” kata Abd. Rahman sambil memberitahu peserta antarabangsa terdiri daripada juara peringkat nasional negara masing-masing yang dipilih oleh jabatan pendidikan mereka.
Dalam pada itu, senarai peserta kebangsaan pula merangkumi tiga wakil terbaik dari pertandingan peringkat negeri dan wilayah yang telah diadakan sejak April lalu.
Ketika ditemui Kosmo!, Reuben ternyata sangat teruja dengan kemenangannya. Apatah lagi apabila berjaya menyandang gelaran berganda pada kedua-dua pertandingan tersebut.
Tebus kegagalan
“Saya rasa sangat gembira atas kejayaan ini. Tahun lalu, saya gagal mendapat sebarang tempat tetapi tahun ini amat bertuah buat diri saya.
“Pada mulanya, sasaran saya cuma untuk berada dalam kedudukan tiga pengeja terbaik di peringkat kebangsaan. Jadi, kemenangan ini ibarat bonus berganda pada saya,” ujar Reuben yang berasal dari Semabok, Melaka.
Ditanya mengenai persediaan menyertai pertandingan itu, anak bongsu daripada dua adik beradik ini berkata, dia telah membaca kesemua majalah Knowledge Discovery yang dibekalkan.
Bercita-cita mahu menjadi doktor, Reuben bagaimanapun mengakui gementar sewaktu berada di pusingan akhir pertandingan itu.
“Perasaan cemas memang ada. Lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan peserta dari luar negara. Cuma, saya sentiasa yakin dengan kebolehan diri untuk mengatasi perkara itu,” tutur Reuben yang meminati subjek Sains di sekolah.
Mengulas kejayaan Reuben, guru pengiringnya, Vijaya Kumar, 53, berkongsi kegembiraan terhadap pencapaian anak didiknya itu.
“Secara peribadi, saya bangga dengan Reuben. Dia memang seorang pelajar yang aktif di sekolah dan kejayaannya dalam pertandingan ini boleh dijadikan contoh pada pelajar-pelajar yang lain,” kata Vijaya yang merupakan Ketua Unit Bahasa Inggeris, Sekolah Kebangsaan St. Francis.
Tidak ketinggalan, beliau turut memuji penganjuran pertandingan seumpama itu yang mampu meningkatkan penggunaan bahasa Inggeris serta membina kemahiran komunikasi pelajar.
Untuk hadiah peringkat Asia Tenggara, juara menerima Geran Pendidikan Knowledge Discovery bernilai AS$1,000 (RM3,100), trofi kejohanan, sijil, pakej percutian tiga hari dua malam di Langkawi Lagoon Resort, hamper Champs, telefon bimbit, kamera digital dan langganan majalah Knowledge Discovery selama dua tahun.
Naib juara menerima trofi, sijil, pakej percutian tiga hari dua malam di Bukit Merah Lake Town Resort, hamper Champs, telefon bimbit, kamera digital dan langganan majalah Knowledge Discovery selama setahun.
Pemenang saguhati pula membawa pulang trofi, sijil dan langganan majalah Knowledge Discovery selama setahun.
Bagi hadiah peringkat kebangsaan, pemenang menerima trofi kejohanan, Geran Pendidikan Knowledge Discovery bernilai RM1,000, pakej percutian tiga hari dua malam di Langkawi Lagoon Resort, hamper Champs, telefon bimbit, kamera digital dan langganan majalah Knowledge Discovery selama dua tahun.
Naib juara yang menjadi milik peserta Negeri Sembilan, Arlen Tan Jui Hui dari Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hua, Seremban menerima trofi, sijil, pakej percutian tiga hari dua malam di Bukit Merah Lake Town Resort, hamper Champs, telefon bimbit, kamera digital dan langganan majalah Knowledge Discovery selama setahun.
Pemenang saguhati pula menerima trofi, sijil dan langganan majalah Knowledge Discovery selama setahun.
Majlis penutup pertandingan itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Operasi Pendidikan), Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: