Sunday, October 24, 2010

Malaysia destinasi pelancongan kenderaan permotoran


Ng Yen Yen (tujuh dari kiri) bersama penaja selepas menyampaikan sijil penghargaan pada majlis pelancaran kempen iklan dan promosi Pameran Kereta Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 (KLIM'10) di Kuala Lumpur, semalam. Turut sama Aishah Ahmad (lapan dari kiri) dan Mak Weng Kit (enam dari kiri).


KUALA LUMPUR 21 Okt. – Kerajaan merancang untuk menjadikan negara ini sebagai sebuah destinasi pelancongan permotoran sebagai tarikan terbaru serta meningkatkan pendapatan negara.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, Malaysia mempunyai banyak peluang dalam membangunkan industri pelancongan permotoran tersebut.

Katanya, pelancongan ini adalah selari dengan hasrat kerajaan dalam mencapai sasaran 36 juta pelancong pada 2020 yang akan menghasilkan anggaran pendapatan RM168 bilion.

“Cara untuk mencapai pendapat sebanyak ini ialah melalui pelancongan yang mendatangkan hasil yang tinggi dan pelancongan permotoran dapat menghasilkan pendapatan begini.

“Malaysia mempunyai potensi yang tinggi untuk menarik pelancong datang dan memandu dalam negara ini kerana kita mempunyai lebuh raya yang baik di samping pemandangan yang indah serta kos petrol yang lebih murah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Kempen Iklan dan Promosi sempena Pameran Kenderaan Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 (KLIMS’10) di Jalan Sultan Ismail dekat sini hari ini.

Turut hadir ialah, Pengerusi Jawatan Kuasa Penganjuran KLIMS’10 yang juga Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Interexpo (M) Sdn. Bhd., Mak Weng Kit.

Pameran yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 3 hingga 12 Disember itu akan mempamerkan penemuan terbaru dan sensasi dalam dunia automotif, serta aksesori kereta.

Aishah berkata, KLIMS’10 juga akan mempamerkan robot setinggi 16 kaki dari filem terkenal Transformers, Bumble Bee dan juga kereta Batman.

Menurutnya, pelbagai hadiah menarik termasuk sebuah kereta hybrid, Toyota Prius, dua Proton Saga dan 10 buah motosikal Naza juga menanti pengunjung pameran itu.

“Pengunjung berpeluang memenangi hadiah-hadiah menarik ini dengan hanya membeli tiket masuk ke KLIMS’10 yang berharga RM15 pada hari biasa dan RM20 untuk hujung minggu.

“Bagi kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah pula berharga RM5, manakala harga pakej untuk keluarga di sediakan dan orang ramai yang berminat boleh melayari www.klims10.com untuk keterangan lanjut,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: