Sunday, October 24, 2010

Arroyo Trabuco juara terakhir


Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Dr. James Dawos (empat dari kanan) dan bersama pasukan Arroyo Trabuco yang muncul juara WAITGC pusingan keenam di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


TAMPIL dengan nama unik, Arroyo Trabuco, dari Amerika Syarikat membuktikan permainan mereka juga hebat apabila muncul juara gross di pusingan kelayakan keenam Kejohanan Amatur Antara Pasukan Dunia 2010 (WAITGC) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ia sekali gus melayakkan mereka ke pusingan akhir November ini di Sabah.

Pasukan dari California yang baru pertama kali mengambil bahagian dibarisi oleh John Hanks, Rick Burk, Shawn McDonald dan Andrew Nelsen mempamerkan permainan mantap sepanjang empat hari untuk melakar catatan 246, 232, 238 dan 230 pukulan di lapangan Kota Permai Golf & Country Club dan Kelab Golf Sultan Abdul Aziz Shah (KGSAAS) untuk jumlah keseluruhan pasukan 946 pukulan.

“Kami amat teruja untuk menang dan layak ke pusingan akhir. Ini bukan persembahan terbaik kami tetapi kami bangga untuk menang dalam penyertaan pertama disini. Tambahan pula ini kali pertama kami bermain di kedua-dua lapangan ini,” jelas ketua pasukan Andrew Nelsen.

Nelsen turut mengungguli kategori gross individu selepas menang dengan catatan empat hari 15 di atas par 303.

Pasukan tempatan Protellus & Ausenergy diwakili oleh Mohd. Azmi, Kamarulzaman Kamaruddin, Zulkapli Ariffin dan Sazali Hassan memberi cabaran hebat sebelum tercicir di kedudukan kedua dengan hanya perbezaan dua pukulan selepas pulang dengan 236, 238, 242 dan 232 pukulan untuk keseluruhan 948 pukulan.

Sementara itu pasukan Choppers dari Australia diwakili oleh Kevin Bowden, Isao Iwatsuki, Reke Bray dan Micheal Hall ditempat ketiga dengan 1,025 pukulan.

Dalam kategori nett, pasukan MFC dari Peranchis diterajui Azlan Shaharbi, Allan Younes, Azmi Sharif dan Claude Lanchane cemerlang untuk muncul juara dengan 401 mata, berkelebihan enam mata di hadapan naib juara Metro Surabaya dari Indonesia yang membariskan Benny Thejasukmana, Tirta Kamandhanu Ong, Tulus Harianto dan Awaruddin Widjaya.

Kesemua lima pasukan, tiga gross dan dua nett akan menyertai 25 pasukan yang telah terlebih dahulu layak ke pusingan akhir di Nexus Golf Resort Karambunai, Sabah dari 2 hingga 5 November.

Bagi kategori media pula, Abdul Yazid Mahat dari Karangkarf sekali lagi muncul juara dengan 33 mata untuk menang dengan kiraan semula (OCB).

WAITGC berlangsung dalam format Strokeplay gross untuk kategori gross dan format Stableford untuk kategori nett.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: