Sunday, October 24, 2010

Percutian sepanjang musim


Pemandangan dari sisi hadapan Pangkor Island Beach Resort menawarkan keselesaan buat pengunjung.


BULAN November dan Disember cukup sinonim dengan kedatangan musim yang lebih ketara dirasai di negeri-negeri pantai Timur.

Dengan suasana ombak besar dan laut bergelora membuatkan destinasi pelancongan terutama di pulau-pulau sekitar pantai Timur menutup operasinya.

Ketika inilah pelancong beralih ke lokasi pelancongan di sebelah pantai Barat.

Antara destinasi pilihan pelancong tempatan dan asing yang tidak terkena tempias musim tersebut adalah seperti Pulau Pangkor, yang cukup terkenal dengan keindahan pantai serta industri perikanannya.

Pulau Pangkor yang terletak di luar pesisir pantai negeri Perak, cukup strategik buat mereka yang ingin bercuti ke pulau walaupun pada musim tengkujuh.

Antara lokasi tarikan ramai ialah keindahan pantai Pasir Bogak dan Teluk Nipah yang boleh memberikan keamanan dan ketenangan buat pengunjung.

Pulau berkeluasan lapan kilometer persegi ini dihuni kira-kira 25,000 penduduk.

Ia menyediakan pelbagai kemudahan penginapan antaranya, Pangkor Island Beach Resort.

Resort di kawasan pulau tropika dengan keluasan 1.2 kilometer persegi itu meliputi kawasan pantai sebuah teluk persendirian dengan perairan hijau zamrud.

Resort ini merupakan pilihan terbaik buat mereka yang berminat dengan aktiviti sukan air.

Lokasi biliknya nyata strategik dan selesa bertemankan bunyi desiran ombak pantai yang nyaman lagi mengasyikkan.

Kemudahan penginapan sebanyak 258 buah bilik yang selesa dan lengkap dengan pelbagai kemudahan menjadi tarikan utama buat pengunjung.

Antaranya ialah Garden Wing, Pacific Wing, Ocean Wing dan 12 vila eksklusif buat para pengunjung.

Setiap bilik Ocean Wing dan vila mempunyai anjung sendiri dengan pemandangan panorama pantai dan laut yang menyegarkan terutamanya apabila matahari mula terbit.

Setiap ruang bilik direka dengan gabungan kelengkapan moden dan aksesori warisan bangsa.

Semua bilik dilengkapi dengan penyaman udara, kunci pintu elektronik, pengering rambut, saluran televisyen 24 jam, telefon IDD, kemudahan membancuh kopi dan teh serta perkhidmatan penghantaran makanan ke bilik dengan hanya satu panggilan.

Selain itu, Pangkor Island Beach Resort juga menawarkan hidangan enak masakan gabungan tempatan dan Barat yang memikat hati dan boleh didapati di rangkaian restoran yang terdapat di dalam kawasan resort.

Antaranya seperti di Hornbill Restaurant, Pacific Terrace, Kingfisher Pool dan Golden Oriole Lounge and Bar.

Buat mereka yang suka berenang, bolehlah meluahkan waktu di kolam renang yang terdapat di resort berkenaan mahupun berenang di pantai yang luas.

Resort tersebut juga menyediakan kawasan riadah seperti permainan foosball dan pool serta gelanggang tenis, bola tampar dan bola sepak pantai diatas permintaan pengunjung.

Sukan air dari berkenu, jet ski ke perjalanan dengan menggunakan bot boleh didapati di resort berkenaan.

Pengunjung boleh juga belayar sekitar pulau itu dan peluang untuk menyaksikan pemandangan matahari terbenam di kawasan utara Pulau Pangkor.

Buat mereka yang sedang mencari pengembaraan yang menakjubkan boleh mencuba aktiviti selam skuba di Pulau Sembilan yang terletak berhampiran dengan Pulau Pangkor.

Selain itu, pengunjung juga boleh meluangkan masa berehat dan memanjakan diri di spa yang terletak bersebelahan dengan blok Ocean Wing.

Spa Aryani menyediakan perkhidmatan urutan secara tradisional untuk mengembalikan kesegaran otot-otot yang keletihan dari kepala ke hujung kaki dan turut menawarkan rawatan rambut, muka, sauna herba dan refleksologi kaki.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: