Monday, October 25, 2010

Hapus Aedes di setiap penjuru


DARI KIRI: Pengarah Hal Ehwal Kerajaan dan Undang-UndangTesco Malaysia, Azlam Shah Alias, Rosnah dan Gary menyampaikan risalah mengenai denggi kepada penduduk setempat.


PERJUANGAN menentang wabak denggi tidak pernah dilupakan sama sekali. Lebih daripada itu, peringatan sering dilaungkan bagi menyedarkan orang ramai mengenai bahaya penyakit pandemik global itu.

Namun, sejauh manakah keberkesanan kempen yang dianjurkan dalam pelbagai bentuk itu jika masyarakat masih mengamalkan sikap lepas tangan?

Kalau di kawasan taman perumahan, masing-masing saling menuduh dengan mempertikaikan bahawa rumah jiran yang kotor hingga menyebabkan kawasan mereka menjadi sarang pembiakan nyamuk Aedes.

Sepatutnya perkara tersebut tidak berlaku malah penerimaan teguran terbuka dan saling mengingati antara satu sama lain mampu menjamin kehidupan yang lebih sihat.

Daripada satu sudut lain, timbul juga sikap sebilangan masyarakat yang tidak peka dalam mendapatkan rawatan segera apabila menghidapi demam ataupun tanda-tanda jangkitan wabak denggi.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dr. Rosnah Hadis, sebanyak 20 peratus daripada jumlah kematian akibat demam denggi disumbangkan faktor tersebut.

"Jumlah kes terkini wabak denggi berjumlah 39,932 kes dengan peningkatan sebanyak 17 peratus. Kes kematian kini meningkat kepada 114 kes iaitu peningkatan sebanyak 61 peratus berbanding 71 kes dicatatkan sepanjang tempoh sama tahun lepas.

"Selangor masih kekal sebagai negeri tertinggi dengan mencatatkan statistik 13,837 kes denggi," kata Rosnah.


ROSNAH (tengah) turun padang menjayakan kempen menentang Aedes dan denggi.


Beliau berkata demikian dalam teks ucapan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican sempena majlis Program Membanteras Aedes bersama syarikat Sara Lee Malaysia dan Tesco Malaysia Sdn. Bhd..

Majlis tersebut memilih pangsapuri Seksyen 7, Kota Damansara sebagai lokasi kempen bergerak dari rumah ke rumah kerana ia merupakan kawasan 'panas' denggi.

Antara intipati kempen yang diadakan sehingga bulan depan adalah setiap kakitangan syarikat itu akan mengunjungi penduduk setempat untuk memberi nasihat mengenai bahaya denggi selain mengedarkan produk racun serangga.

"Penduduk harus tahu, sekiranya kawasan rumah mereka bersih, ia tidak bermakna tiada wabak denggi. Disebabkan persekitaran taman perumahan itu tidak dijaga maka ia akan menjejaskan keseluruhan tempat itu," jelas Naib Presiden Kanan Sara Lee Malaysia, Gary Brown.

Usaha meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pentingnya menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes adalah dengan menggunakan racun serangga aerosol di dalam rumah sebagai amalan mingguan membunuh nyamuk dewasa.

Jenama racun serangga itu sudah sekian lama terlibat secara aktif dalam kempen membantu masyarakat mengekang wabak denggi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: