PETALING JAYA: Pelakon Rafidah Ibrahim atau lebih mesra disapa Fida mengakui keluar dari pengurusan Metrowealth Production (MIG) kerana ingin mengembangkan kerjaya seninya dalam bidang nyanyian.
Fida berkata, dia tekad dengan keputusan tersebut dan mahu menumpukan perhatian sepenuhnya dalam bidang yang menjadi impiannya selama ini.
"Saya baru sahaja beberapa hari keluar dari MIG, punca utama ialah kerana saya mahu fokus kepada bidang nyanyian. Saya mahu menjadikan nyanyian sebgaai keutamaan saya sekarang.
"Keputusan ini dibuat setelah saya berfikir tentang masa depan dan hala tuju saya sebagai seorang anak seni. Apa yang saya mahu dalam industri ini sebenarnya ialah dalam bidang nyanyian," ujarnya ketika dihubungi mStar Online.
Menurut Fida, dia akan merakamkan semula lagu tema Epilog Syurga Cinta berjudul Ku Mohon Pada Mu dalam masa terdekat ini sebagai single pertamanya.
"Saya akan tandatangan kontrak dengan seseorang yang mahu membiayai kos rakaman album saya dan kami dalam perancangan untuk merakamkan tiga buah lagu baru.
"Ini juga salah satu faktor saya keluar dari MIG, kerana pengurusan lakonan dan nyanyian tentu akan bercangah selepas ini," katanya yang enggan mendedahkan nama pembiaya tersebut.
Jelas Fida, dia tidak mahu mensia-siakan masa ada dan mahu mengejar impian sebagai seorang penyanyi sementara usia masih muda.
"Saya tidak mahu terlewat, ini merupakan masa paling sesuai untuk saya mencuba bidang ini. Saya tidak mahu kesal suatu hari nanti jika tidak mencuba dan rebut peluang yang ada ini," katanya.
Dalam pada itu, kata Fida, pembatalan kontrak dengan pihak MIG dibuat setelah mendapat persetujuan dari kedua-dua belah pihak.
"Kami berpisah cara baik, MIG faham dengan kehendak saya. Mereka juga tidak cukup kakitangan untuk menguruskan bidang nyanyian kerana memberi tumpuan terhadap filem.
"Jadi mereka mengizinkan saya untuk keluar, sepatutnya kontrak saya masih ada lagi tiga tahun setengah dengan MIG," katanya.
Ketika ditanya tentang kesediaannya untuk bergerak secara sendiri, Fida mengakui ia bukan sesuatu yang mudah terutamanya bagi artis yang baru bertapak dalam industri ini.
"Ya, bukan senang untuk bergerak sendiri. Saya masih memerlukan orang-orang lain dalam industri ini untuk membantu. Kalau di MIG saya sudah biasa dilayan seperti anak bungsu.
"Setiap projek lakonan sudah disediakan, tapi sekarang saya perlu kerja lebih kuat sebab saya akan melakukannya sendiri. Tapi saya sentiasa percaya bahawa rezeki Allah ada di mana-mana," katanya.
Sementara itu, Fida berharap agar masyarakat boleh memberi sokongan dan menerima dirinya sebagai seorang penyanyi.
"Saya tidak tinggalkan bidang lakonan, saya jadi penyanyi sebab impian saya selama ini. Selain itu, dengan nyanyian juga boleh mendekatkan lagi diri saya dengan peminat.
"Saya harap peminat saya dapat beri sokongan dan semangat kepada saya," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: