Monday, October 25, 2010

Bijaksana suai padan


GABUNGAN imej vintaj dan moden sesuai untuk aktiviti bersiar-siar.


SEHELAI baju T, kemeja atau dres yang mempunyai potongan ringkas boleh diubah suai untuk menjadikan gaya pemakaian anda kelihatan lebih ranggi. Meskipun begitu, apabila kerap memakainya, mungkin anda mula bosan dengan penampilan yang sama.

Semuanya gara-gara ilham berfesyen tidak 'kunjung tiba'. Pakaian itu akhirnya disimpan begitu sahaja memenuhi almari peribadi hanya kerana anda masih menyayanginya lantaran ia masih dalam keadaan baik.

Stailo mengesyorkan, jangan meminggirkan terus pakaian tersebut kerana anda boleh mengubahnya menjadi sesuatu yang luar biasa.

Kalau kena pada olahannya, mungkin juga rakan-rakan akan memberi pujian apabila melihat anda tampil berbeza.


HIMPUNAN kemeja dan baju T yang memenuhi selera generasi muda.


Terbaru, pertunjukan jenama yang sering menjadi pilihan remaja masa kini iaitu Pull & Bear banyak menekankan aspek kebijaksanaan konsep suai padan.

Misalnya, dres labuh flora tanpa lengan dipadankan dengan pemakaian jaket kulit sekali gus gaya pemakainya kelihatan lebih urban.

Pull & Bear menampilkan lima kategori fesyen wanita iaitu Women My Beloved Watson yang menetapkan ciri jahitan dan fabrik klasik seperti Harris Tweed.

Seterusnya Bonnie and Clyde pula mengambil inspirasi daripada filem gengster Bonnie and Clyde yang popular sekitar tahun 1967. Kesemua koleksinya bercirikan ringkas tetapi mempunyai elemen lasak.


GAYA lasak ala seorang peninju.


Pilihan warna yang digunakan adalah kelabu, merah dan biru. Meskipun terdapat unsur warna merah, ia sebenarnya tidak terlalu terang malah terjalin baik dengan rona lain.

Bagi kategori Love Story, gaya yang diutamakan mengangkat tema romantis. Baju kot yang mempunyai bulu di bahagian leher meningkatkan lagi aura manis si pemakai.

Pin-Up Granny pula menampilkan gaya hebat era 50-an yang tersohor dengan fesyen retro. Sentuhan potongan vintaj diutamakan dengan imej binatang, bunga-bunga kecil dan objek.

Akhir sekali bagi fesyen wanita adalah Montgomery High School. Gambaran tepat yang anda boleh bayangkan adalah koleksi baju pinafor, penggunaan fabrik berasaskan bulu biri-biri, seluar paras pinggang dan sarung kaki.

Dalam pada itu, gaya lelaki macho turut tidak ketinggalan untuk dipersembahkan di butik Pull & Bear, Pavilion Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Kehangatan koleksi kali ini dipecahkan kepada lapan kategori. Antaranya ialah Men's Mod yang berasaskan fesyen dan muzik.


PELBAGAI seleksi kasut untuk jejaka.


Ia seolah-olah mengangkat gaya selebriti Small Faces, The Kinks, The Who dan The Action. Pilihan seterusnya adalah Soho mampu memberi kepuasan kepada jejaka yang gemar untuk tampil kasual.

Selain itu, jejaka yang sudah lama mengimpikan memakai baju berleher tinggi lebih sesuai dengan kategori Sea Wolf yang mengekalkan ciri klasik melalui warna celoreng dan lambang lanun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: