RUTIN kerja Abd. Rahman Yusoh, 23, bermula dari pukul 12 tengah hari sehingga 9 malam setiap hari. Bagaimanapun, sebagai seorang jurulatih peribadi di pusat kecergasan Celebrity Fitness, pusat beli-belah Mid Valley Kuala Lumpur, dia akan sampai di tempat kerja seawal pukul 6 pagi.
Dia perlu menyiapkan dirinya lebih awal kerana ada di kalangan pelanggan yang memerlukan pemantauannya. Tidak menganggap keperluan pelanggan itu sebagai satu bebanan, anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu akur dengan tuntutan tersebut.
“Datang awal bukan masalah kepada saya kerana pelanggan perlu diutamakan,” kata bekas pemain bola sepak Sekolah Menengah Teknik Juaseh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu.
|
|
Minat yang mendalam dalam dunia sukan menyebabkan dia sanggup menghabiskan sebahagian besar daripada masanya di pusat kecergasan itu. Meskipun berdepan dengan pelbagai kehendak pelanggan, Abd. Rahman sedia memberi tunjuk ajar kepada pelanggannya.
“Berpegang kepada prinsip pandangan pelanggan sentiasa betul, saya akan menuruti kehendak mereka. Selagi ia tidak mengganggu sesi latihan mereka, sebagai seorang jurulatih kecergasan yang bertauliah itu adalah keutamaan kami.
Abd. Rahman yang mesra disapa sebagai Man tidak menyangka bahawa dia akan terlibat dalam dunia kecergasan. Segala-galanya bermula selepas dia bertemu dengan pihak pengurusan Celebrity Fitness ketika ingin mendaftar sebagai ahli.
Bagaimanapun, melihatkan sosok tubuh Abd. Rahman, pihak pengurusan gimnasium menawarkannya jawatan sebagai jurulatih peribadi. Namun, sebelum layak menjawat jawatan tersebut, dia perlu menjalani latihan kecergasan selama dua bulan.
“Tanpa berfikir panjang, saya terus menerima tawaran itu. Apatah lagi pada masa itu saya baru tamat pengajian di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan sudah lama berehat akibat kecederaan di kaki sebelum ini.
“Sesi latihan tersebut merangkumi ujian kecergasan, orientasi teori dan amali serta mengetahui fungsi setiap peralatan,” kata pemegang diploma dalam bidang kejuruteraan elektrik itu.
Tunjuk ajar pelanggan
Apakah rutin Abd. Rahman sebagai seorang jurulatih peribadi? Dia akan memastikan setiap pelanggan mendapat tunjuk ajar mengenai cara-cara penggunaan peralatan di gimnasium. Mereka juga akan diberi penerangan mengenai fungsi setiap peralatan tersebut.
Rakan sekerjanya, Moganesvary Gopal, 23, berkata, laluannya dalam bidang tersebut sudah dijangka. Sebagai pemegang diploma dalam bidang fisioterapi, Moganesvary, mempunyai pengetahuan luas dalam bidang tersebut.
“Bidang kecergasan berkait rapat dengan fisiologi. Apa yang saya belajar ketika di universiti dahulu akan saya dipraktikkan di sini.
“Saya sering menasihatkan pelanggan tentang postur tubuh yang betul ketika melakukan senaman atau mengangkat bebanan.
“Jika tersilap langkah, aktiviti di gimnasium boleh mengundang padah,” ujar graduan dari Kolej MASA yang aktif dalam sukan larian ketika di bangku sekolah.
Ketika di bangku sekolah, gadis kelahiran Sungai Buloh itu juga sering menyertai pelbagai kejohanan.
“Gimnasium, fisioterapi dan sukan larian adalah elemen yang menggambarkan diri saya. Ketiga-tiga elemen itu sebenarnya mempunyai kaitan antara satu sama lain iaitu mengenai sistem badan yang aktif,” katanya.
Mengakui akan mencuri waktu melakukan latihan untuk diri sendiri, tidak bermakna Moganesvary tidak komited pada tanggungjawabnya.
Kerja-kerja amal
“Saya bukan mengabaikan pelanggan untuk melakukan latihan peribadi, sebaliknya saya akan melakukan latihan ketika ketiadaan pelanggan. Waktu yang sesuai untuk saya berlatih ketika pelanggan tiada.
“Saya akan melakukan sekurang-kurangnya empat sesi latihan seminggu di gimnasium untuk mengekalkan tahap kecergasan,” katanya.
Pada hari cuti, lazimnya Moganesvary akan menghabiskan masa di gimnasium dengan pelbagai aktiviti kecergasan sebagai persediaan untuk menyertai kejohanan larian.
Namun, kesibukan bekerja tidak menghalang Moganesvary untuk aktif dalam kerja-kerja amal.
“Setiap hujung minggu saya akan luangkan masa di Rumah Kanak-kanak Cacat Kelana Jaya untuk bersama penghuni rumah tersebut selain membantu membersihkan rumah terbabit,” kata wanita yang meminati aktor Tamil, Rajinikanth.
Sebagai ahli fisioterapi sambilan, Moganesvary meluangkan masa membantu merawat dua pesakit strok menjalani terapi fisioterapi di rumah mereka.
“Saya akan ke rumah mereka untuk melakukan proses rawatan fisioterapi, tanpa mengganggu tugas hakiki saya di gimnasium.
“Saya ingin melihat mereka berjalan dan bergerak semula. Hanya itu matlamat saya,” ujar anak kedua daripada enam adik beradik itu.
Bagi Abd. Rahman dan Moganesvary tiada lain yang mereka impikan selain melihat pelanggan-pelanggan gembira dan mencapai impian yang mereka cita-citakan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: