SELEPAS dua tahun mendalami ilmu pengurusan acara, akhirnya sekumpulan 22 pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Acara, Fakulti Pengurusan dan Teknologi Pejabat (FPTP), Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjadi kebanggaan pensyarah mereka apabila berjaya menganjurkan majlis Bengkel Pesona 2010 baru-baru ini.
Menariknya buat kali pertama majlis yang diadakan di Hotel UiTM, Shah Alam, Selangor itu dikendalikan sepenuhnya oleh para pelajar berbanding sebelum ini diuruskan oleh Akademi Pembangunan Imej dan Profesional (AIPD) yang dianggotai kumpulan pensyarah.Organisasi yang dibentuk kumpulan pelajar itu dinamakan Ombak Event.
Program yang dihadiri oleh 86 orang pelajar dari pelbagai program di fakulti sama dimeriahkan dengan tiga slot ceramah kemahiran sosial, etika di meja makan dan mencantikkan diri daripada panel profesional.
Tiga panel tersebut ialah pengurus eksekutif, Kamarulzaman Almarwan, pensyarah Jabatan Pengurusan Perkhidmatan Makanan UiTM, Hashim Fadzil Ariffin dan Perunding Pengarang Karangkraf, Kamarudin Abdul Rahman.
Majlis yang bertujuan untuk menyediakan diri pelajar kursus Pengurusan Acara dengan penampilan diri positif itu turut dimeriahkan dengan pertunjukan fesyen dan persembahan artis.
Bagi Pengurus Projek, Saida Yasmin Shaharil, 23, program itu banyak mengajar beliau dalam menganjurkan sebuah program besar, selain menimba pengalaman sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
“Sebaik kami menerima tugasan ini ketika baru mendaftar kursus dua tahun lalu, perancangannya turut bermula pada tarikh tersebut. Dalam tempoh itu juga banyak idea asal yang terpaksa dirombak sehinggalah program pada hari ini yang telah dimuktamadkan pada April lalu,” katanya.
“Walaupun ia memberikan cabaran yang besar, tempoh dua tahun itu memberikan kami ruang untuk berbincang mengenai kandungan program,” katanya kepada Kosmo!.
Ujar beliau, jawatankuasa penganjur bukan setakat menyediakan kandungan program, bahkan perlu menguruskan pelbagai perkara lain dari penajaan sehinggalah dekorasi meja.
“Semua itu dilakukan oleh kami sendiri tetapi kejayaan program ini turut disumbangkan oleh para pensyarah yang setia membenarkan kami mendampingi mereka untuk mendapatkan nasihat,” katanya.
Mengulas mengenai aktiviti yang berlangsung pada 25 September lalu, Penasihat Program yang juga merupakan Pensyarah di FPTP, Hazira Mohd. Nasir memuji komitmen yang diberikan oleh setiap pelajar.
“Ia merupakan sebuah program yang mampu membuka peluang kepada mereka bagi menempuhi dunia kerjaya.
“Di samping pembelajaran dalam kelas, ia memberi mereka pendedahan kepada dunia sebenar. Program luar kuliah seperti ini mampu melahirkan graduan yang berbakat,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: