Tuesday, October 5, 2010

Seni kaca buatan tangan


BEBERAPA siri pasu bunga kaca yang dipamerkan di kilang pembuatan Archimede Seguso di Pulau Venice, Murano.


DENGAN pelbagai latar belakang pelanggan termasuk golongan diraja, rekaan Archimede Seguso Vetreria, pengasas industri pembuatan kaca Murano tidak perlu mengubah formulanya untuk berjaya.

"Kami melawan arus dan trend. Kami bekerja cara lama, semua produk kami dibuat dengan tangan," kata Gino Seguso, anak lelaki kepada mendiang Archimede, pereka patung kaca padat yang terkenal dengan gaya haiwan di kepulauan terpencil Murano di Venice sejak berabad lamanya.

"Kami menganggap diri kami sebagai pereka fesyen kaca," jelas Seguso yang pernah bekerjasama dengan artis antarabangsa terkenal, pereka fesyen, arkitek, golongan bangsawan dan ketua-ketua negara.

Malah, beliau juga sering berurusan dengan Tiffany's, sebuah syarikat peniaga barang kemas terkemuka di Amerika Syarikat (AS) yang menjadi pelanggan setianya sejak enam dekad lalu.

Jika dilihat senarai buku tetamu pula, ia mengandungi kata-kata pujian daripada ramai individu terkemuka termasuklah golongan bangsawan dan pemimpin dunia.

Antara yang memberi pujian termasuklah Permaisuri Sirikit dari Thailand, Raja Juan Carlos dan Permaisuri Sofia dari Sepanyol serta Presiden Itali, Giorgio Napolitano.

Apa yang pasti, rekaan kaca yang dihasilkan Seguso itu mengangkat prestij beberapa buah tempat seperti lobi ibu pejabat Bank Veneto selain memberi kemewahan tambahan di Hotel Metropole di Grand Canal Venice yang terletak berhampiran St. Mark's Square.

Kemegahan itu menjadikan ia satu perbezaan ketara jika melihat kepada bengkel luar bandar Murano yang mengandungi relau berusia 100 tahun untuk menjalankan kerja-kerja membakar kaca.

Mahu berdikari


GINO SEGUSO memasang impian membina sebuah muzium untuk karya-karya bapanya.


Meskipun memakai sut, Seguso tidak kisah jika dia perlu mengangkat kepingan penutup relau yang mendedahkan haba apinya.

Dengan menggunakan peralatan besi yang panjang, dia menarik keluar gumpalan gelas cair yang merah menyala sebelum dipusing-pusing dengan lembut untuk membentuknya.

Bengkel tersebut dibina pada tahun 1948, tidak lama selepas Archimede meninggalkan syarikat keluarganya untuk mencipta jenama sendiri.

Ternyata niatnya untuk berdikari tidak sia-sia. Archimede berjaya meninggalkan tanda yang sukar dihapuskan dalam industri pembuatan kaca yang diasaskan sejak zaman remajanya .

Malah, kreativitinya terus ditagih sehingga enam bulan sebelum dia meninggal dunia pada tahun 1999 pada umur 90 tahun.

"Pada tahun 1920-an, ayah dianggap pakar dalam rekaan kaca berbentuk haiwan," beritahu Seguso sambil menambah bahawa dia kembali kepada keistimewaan itu lewat tahun 1950-an.

Di samping itu, Seguso turut memuji bapanya yang mengembangkan teknik sulaman kerawang dan renda atau merletto dalam bahasa Itali.

Di dalam bilik pameran yang dihiasi lampu candelier, pasu-pasu dan objek seni seperti kaca berbentuk arnab, itik, ikan dan lain-lain figura, Seguso yang menyertai perniagaan keluarganya pada tahun 1959, kurang gemar dengan rekaan berbentuk tubuh wanita yang dihasilkan oleh ayahnya.

Pada era sebelum perang fasis di Itali, figura feminin menjadi lebih klasik dengan kepala yang kecil dan tubuh badan yang sempurna.

Pada era tahun 1970-an, bapanya menghasilkan satu lagi patung kaca tanpa pakaian. Kali ini lebih tinggi dan kurus.

Bina muzium


REKAAN pereka fesyen kaca Murano, Archimede Seguso Vetreria lebih kepada motif haiwan.


Seguso mempunyai impian membina sebuah muzium untuk semua karya bapanya. Sehubungan itu dia telah memanjangkan cadangan tersebut kepada arkitek kelahiran Kanada-AS, Frank Gehry untuk merealisasikan projek tersebut.

Kini, Seguso mempunyai 30 pekerja yang terdiri daripada warga tempatan, dua orang dari Sri Lanka dan Rusia. Mereka bekerja tanpa perlu pemantauan dan menghasilkan tidak lebih daripada tiga atau empat objek sehari.

Tiga anak perempuan Seguso iaitu Emanuela, Francesca dan Barbara bertanggungjawab mengendalikan segmen barang kemas kaca dan aksesori di bawah jenama Segusissime. Antara pelanggan mereka termasuklah Wanita Pertama AS, Michelle Obama.

"Idea untuk membuat barang kemas kaca ini tercetus sewaktu mereka (anak-anak perempuannya) berusia dalam lingkungan 40-an," beritahu Seguso yang kini berusia 70 tahun.

Meskipun sedar dengan ancaman produk mereka ditiru secara besar-besaran terutama di China, Seguso sedikit pun tidak bimbang.

"Anda boleh mengetahui perbezaannya. Jika mereka mahu meniru produk kami, biarkan sahaja. Kami sentiasa mencipta sesuatu yang baru dan istimewa.

"Apa yang pasti, kami meneruskan tradisi penciptaan buatan tangan dengan sentuhan fantasi," tegasnya.

1 comment:

  1. saya sangat menyukai seni kerajinan kaca http://www.gudangart.blogspot.com

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: