Friday, October 15, 2010

Konsert Reunion AF8 ubat rindu peminat

Bagi peminat bintang-bintang Akademi Fantasia musim ke-8 (AF8), Konsert Reunion AF8 mungkin menjadi detik yang paling dinantikan untuk melihat kesemua 12 pelajar musim itu kembali bergabung di atas satu pentas.

Konsert Reunion AF8 yang telah berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, pada tarikh keramat 10.10.10 itu turut menampilkan beberapa bintang Akademi Fantasia sebelumnya seperti Stacy, Mawi, Hafiz dan Aizat serta dihadiri lebih daripada 4, 000 penonton.

Sebanyak 20 buah lagu yang kesemuanya telah diangkat daripada runut bunyi filem-filem tempatan serta luar negara. Antara lagunya adalah Jai Ho (Slumdog Millionaire), Jika Kau Tiada (Kuliah Cinta), Sandarkan Pada Kenangan (Azura), Menggegar Dunia (My Spy), Mamma Mia (Mamma Mia), Pergi (Talentime) dan Bila Cinta (Lagenda Budak Setan).

Hafiz berduet bersama Iwan menerusi lagu Ku Bukan Untukmu, Stacy (Jahat), Mawi berduet bersama Shahir (medley Madah Berhelah dan Tragedi Oktober) manakala Aizat berduet dengan enam bekas pelajar lelaki AF8 dengan lagu (Pergi).

Lebih istimewa apabila penonton dapat melihat sendiri bagaimana Shahir dan Adira menjadi pasangan kekasih dalam salah satu babak filem Lagenda Budak Setan.

Paduan suara di antara bekas pengetua AF8, Norman Abdul Halim atau mesra dengan panggilan Cikgu Norman dan guru vokal persembahan, Adnan Abu Hassan membuatkan pentas Konsert Reunion AF8 gamat dan riuh rendah semasa bergabung menyanyikan lagu Awas bersama Daus.

Selain itu, guru tari Linda Jasmine turut membuat kejutan dengan menari tarian Hindi menerusi lagu Koi Mil Gaya yang dipopularkan oleh Filem Kuch Kuch Hota Hai.

Konsert yang dirakamkan selama dua jam itu dihoskan oleh Sarimah Ibrahim bersama dua penyampai Riuh Pagi Era, Ray dan Hanif serta juara AF8, Shahir. Ia akan disiarkan pada 6 November ini menerusi saluran Astro Ria (saluran 104), jam 10.30 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: