“SAYA selalu beritahu Pijah masa dia tinggalkan kami dulu semua orang sedih dan risaukan dirinya. Saya beritahu dia yang abah dan abang berhari-hari tak pergi kerja sebab berusaha cari Pijah,” kata kakak kepada Pijah, Siti Nurlaila Omar, 24 kepada Mingguan mStar.
Sebelum ini, kes Pijah meninggalkan rumah dan mengikut teman lelaki berasal dari Indonesia Februari lalu mendapat liputan luas oleh pihak media.
Pijah bagaimanapun pulang ke rumah dengan rela hati selepas dipujuk ahli keluarga dan pihak polis.
Menurut Nurlaila, selepas peristiwa itu adiknya yang berusia 19 tahun itu benar-benar menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan yang sama.
“Pijah baik-baik sahaja sekarang, begitu juga kami sekeluarga. Pijah pun dah bekerja.
“Sesekali pernah juga saya bertanya tentang bekas teman lelakinya itu tetapi Pijah kata dia sudah putuskan hubungan dengan lelaki itu dan tak mahu ingat kisah itu lagi,” katanya.
Nurlaila berkata, adiknya merupakan seorang anak yang baik dan tidak pernah menimbulkan kemarahan dalam keluarga.
“Dia rapat dengan kami semua. Kalau mahu keluar dengan kawan, dia akan minta izin. Punca dia meninggalkan keluarga tempoh hari tak lain tak bukan disebabkan lelaki.
“Tapi kami sekeluarga tak salahkan dia. Dia masih muda dan tak terlepas dari melakukan kesilapan. Asalkan dia sedar perbuatannya salah, kami sudah cukup gembira,” katanya.
Berbicara tentang perancangan masa depan Pijah, Nurlaila berkata Pijah sedang dalam proses mengikuti kelas vokal dengan bantuan abangnya.
Sebagai kakak, Nurlaila percaya Pijah mampu mencapai impian menjadi penyanyi suatu hari nanti.
“Kami sekeluarga sentiasa menyokong Pijah. Pijah perlukan semangat dan dorongan keluarga dalam usaha mencapai impiannya,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: