Tuesday, October 12, 2010

Demi bergelar raja sehari




PEMILIHAN warna dalam sesuatu majlis amat penting terutamanya untuk majlis yang besar dan yang menjadi sejarah dalam hidup seseorang seperti majlis pernikahan.

Pada tarikh 10 Oktober lalu, aktor yang pernah memegang watak utama dalam filem Embun beberapa tahun lalu, Aqasha

telah selamat diijabkabulkan dengan pasangannya Noor Baizura Mohd. Sabri, 27.

Menariknya, tidak seperti pasangan lain, mereka mengenakan persalinan nikah berwarna kuning terang!

Mungkin ramai peminat-peminat Aqasha tertanya-tanya kenapa memilih warna kuning untuk majlis pernikahannya sedangkan ahli keluarga mereka menggunakan warna biru firus sebelah Aqasha manakala warna merah pada sebelah isterinya.

Pilihan warna tersebut dilhat agak ekstrem bagi pasangan pada hari diijabkabulkan, memandangkan pada kebiasaan pasangan yang bernikah biasanya memilih warna lembut, terutama putih.

Namun Aqasha atau nama sebenarnya Firdee Akasyya Rosli dan isteri mempunyai jawapan mereka sendiri.

Bagi Aqasyah, dia memilih warna itu kerana warna kuning cukup sinonim sebagai warna diraja dan sesuai untuk gelaran dirinya pada hari itu selaku raja sehari.

“Nak kata warna kegemaran saya pun tidak sebab warna kuning bagi saya adalah warna yang sesuai untuk majlis-majlis formal seperti ini.


MATANG, kelakar dan tenang merupakan ciri pada diri Aqasha yang berjaya memikat hati Noor Baizura.


“Lagipun pada hari ini (10 Oktober 2010) saya adalah raja sehari, tidak salah rasanya jika saya mahu jadi raja untuk hari ini sahaja,” beritahunya dalam nada ceria.

Bercerita tentang isterinya, kata Aqasha dia mula rapat dengan isterinya yang merupakan kakitangan di bahagian Networks Presentation Unit (NPU) Astro itu pada tahun 2008. Hubungan mereka mula serius sejak tahun lalu dan membuat keputusan untuk bertunang pada 23 Mei lepas.

“Bukan tidak mahu bagi tahu kepada orang ramai tentang hubungan kami sebelum ini tetapi bagi saya bila kami kahwin nanti (hari ini) semua orang akan tahu,” ujarnya.

Bagi Aqasha, antara sebab utama dia tertarik dengan Baizura adalah kerana isterinya itu memahami cara kerjanya sebagai seorang anak seni.

“Memahami cara kerja saya itu yang menjadikan punca hubungan kami serasi dan buat saya tertarik kepada Baizura,” luahnya.


MENYERLAH. Aqasha dan Noor Baizura menjadi tumpuan utama impak pemilihan busana pernikahan berwarna kuning terang ini.


Tiada sebarang hantaran, cincin

Aqasha dan Baizura selamat diijabkabulkan oleh Pendaftar Nikah dan Cerai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Mohd. Pauzi Ilias dengan berwalikan bapa Baizura, Mohd. Sabri Awang.

Dengan sekali lafaz sahaja kira-kira pukul 3.25 petang, Aqasha dan Baizura bergelar suami isteri dengan mas kahwin RM80 pada majlis yang bertempat di rumah pengantin perempuan di Lake Fields, Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Pada majlis yang dihadiri kira-kira 300 tetamu itu, beritahu Aqasha, dia dan Baizura telah bersepakat tidak ada hantaran dan pemberian cincin sebaliknya digantikan dengan pemberian seutas rantai emas putih untuk isterinya bertujuan untuk membatalkan air sembahyang.

Kata Aqasha, semasa bertunang dan merisik dia telah memberikan cincin untuk isterinya dan ketika bernikah dia menukarkan dengan rantai.


SAHABAT baik Aqasha, pelakon Jehan Miskin tidak ketinggalan hadir memberi sokongan moral.


“Wang hantaran dan hantaran juga telah dibawa semasa majlis pertunangan pada 23 Mei lepas. Pemberian rantai itu juga adalah untuk pembatalan air sembahyang,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu.

Jelasnya, dia rasa bersyukur kerana majlis pernikahannya berlangsung tanpa sebarang masalah.

“Sebagai seorang pengantin tidak ada benda lain yang saya mahukan selain majlis saya berjalan dengan lancar,” ujarnya yang pernah menjadi pelakon utama dalam filem Embun.

Bagi Baizura pula, dia terpikat kepada Aqasha kerana baginya suaminya itu merupakan seorang yang matang, kelakar dan tenang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: