Tuesday, October 12, 2010

Kekejaman cinta Medea


MEDEA yang diadaptasi daripada versi Greek kepada Melayu menyaksikan plotnya berkembang selepas Medea menjalani sesi berpantang kerana bersalin.


ISU pembuangan bayi yang semakin berleluasa menjadi inspirasinya. Pada pengarah, Norzizi Zulkifli, pementasan Medea itu tampil tepat untuk menyalurkan mesej kemasyarakatan. Dijadikan sebagai salah satu produksi sempena sambutan ulang tahun pertama The Actors Studio @ Lot 10, Medea merupakan sebuah karya Greek.

Diadaptasi dengan pendekatan elemen tradisional Melayu, Medea mengisahkan tragedi seorang ibu yang membunuh anak-anaknya demi untuk membalas dendam atas pengkhianatan suaminya. “Pada penghujung cerita ini, Medea akan membunuh anak-anaknya.

“Pada saya dengan isu pembuangan bayi yang sedang berleluasa, pementasan ini amat sesuai untuk dipersembahkan sekarang. Jika karya itu ditulis semasa tahun 431 sebelum Masihi, mengapa orang sekarang masih membunuh anak? Sepatutnya manusia sekarang lebih bertamadun selepas mendapat pendidikan,” ujar Norzizi ketika ditemui di studio Utusan.

Bakal dipentaskan bermula 13 Oktober hingga 17 Oktober, cerita Medea yang asal menceritakan bagaimana seorang ibu membunuh anak-anaknya yang sudah berusia antara 8 hingga 9 tahun. Dalam versi tempatan, Medea akan menjalani pantang selepas bersalin.


ANTARA satu karakter ciptaan yang akan menambah dramatik dalam kisah cinta tragis ini.


“Selain daripada kelainan itu, versi ini juga akan memaparkan props, kostum, set, muzik dan dipentaskan dalam bahasa Melayu. Semuanya akan dimelayukan tetapi dengan mengekalkan nama serta nama tempat Greek asal. Ini supaya penonton tahu bahawa ia merupakan karya Greek,” katanya yang pernah mengarahkan 10 teater.

Dijayakan oleh Azizah Mahzan, Zulkifli Zain dan Shahredza Minhat, semua pelakon utama dipilih sendiri oleh Norzizi atas kredibiliti mereka. Selain pelakon utama, ia juga disempurnakan oleh lapan pelakon pembantu, lima pemuzik serta lapan penyanyi dikir barat.

“Menariknya, kami akan memasukkan penyanyi dikir barat dalam persembahan ini. Jadi penyampaiannya adalah lebih kontemporari. Juga penggunaan alat muzik gamelan turut dipilih untuk memperkayakan elemen Melayu yang akan ditonjolkan di dalam pementasan ini. Selain muzik latar, pengarah muzik, Hafiz Askiak turut menghasilkan sebuah lagu, Dilamun Cinta khas buat teater ini,” tambahnya.

Demi cintanya untuk lelaki yang bernama Jason, Medea sanggup membunuh ayah dan abangnya supaya dia berkahwin dengan kekasih hatinya. Bagaimanapun cintanya didustai apabila Jason kemudiannya berkahwin dengan Puteri Glauce, anak kepada Raja Creon atas alasan untuk membina jaminan hidup bagi anak-anak lelakinya.

Tidak dapat menerima pengkhianatan dan dia dihalau keluar dari negeri, Medea membalas dendam dengan membunuh Puteri Glauce dan Raja Creon dengan racun ciptaannya. Lebih kejam, dia telah membunuh kedua-dua orang anak Jason supaya hidup kekasihnya itu hancur.


NORZIZI ZULKIFLI yang senang dipanggil Zizi berdebar untuk menanti pementasan Medea yang bakal berlangsung bermula 13 hingga 17 Oktober ini.


“Disebabkan ini sebuah cerita tragedi, durasinya adalah antara satu jam setengah sahaja. Kami sudah memulakan latihan sejak bulan Julai lalu tetapi berhenti seketika semasa sambutan raya. Disebabkan saya turut mengajar di Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik Universiti Teknologi MARA (UiTM), jadi latihan hanya boleh dilaksanakan di sebelah malam.

“Malah saya baru sahaja mengarahkan teater Sirih Bertepuk Pinang Menari untuk pelajar saya. Nasib baik dengan pengalaman sebelum ini semasa saya mementaskan Medea bersama pelajar saya, ia banyak membantu,” katanya yang telah ringkaskan serta padatkan skrip bagi memudahkan pelakonnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: