|
|
LUPAKAN seketika tabiat memadan busana rona senada atau pun warna selamat. Jika hari-hari sebelum ini anda selesa menggabungkan blaus putih bersama seluar hitam atau kemeja ungu lembut dengan skirt ungu gelap, sudah tiba masanya anda mengubah corak pemakaian yang lebih ceria dan trendy.
Sesekali wanita disaran supaya tampil berani menyarungkan pakaian yang menerapkan kombinasi variasi warna. Inilah yang cuba ditonjolkan oleh pereka fesyen kelahiran Belgium, Raf Simons, sepanjang pertunjukan fesyen jenama Jil Sander baru-baru ini.
Memahami fenomena wanita moden semakin obses berfesyen mendorong, Simons, 42, mencipta kelainan. Pengarah Kreatif jenama Jil Sander itu menampilkan busana konsep warna-warni sempena koleksi musim bunga/panas 2010 untuk label berkenaan di Milan, Itali.
|
|
Saranan Simons yang turut mereka pakaian lelaki, tidak salah memakai pakaian berona tiga atau dua warna sekali gus. Tetapi wanita perlu berhati-hati agar ia tidak mencacatkan penampilan atau lebih tepat tampak seperti badut.
Lihat sahaja kebijaksanaan Simons menyuntik elemen ceria kepada salah seorang model yang menyarungkan kemeja biru gelap bersama seluar panjang merah jambu terang. Tidak ketinggalan Simons berupaya menggabungkan kemeja merah jambu terang, seluar rona jingga dengan jaket biru gelap potongan lebar.
|
|
Daya kreativiti dan inovatif Simons tidak terhenti di situ. Sorakan para tetamu semakin kuat sebaik sahaja model yang menyarungkan kemeja merah jambu dan skirt pendek nuansa kuning diraja serta jaket potongan labuh rona hijau terang melangkah anggun di atas pentas. Tetamu bagaikan terpegun dan memuji kerana setiap koleksi rekaan Simons tampak serasi biarpun menggabungkan bermacam-macam warna.
Apa yang pasti, rekaan Simons juga tidak mendiskriminasi wanita mengikut warna kulit. Sentuhan magisnya bukan sahaja ideal untuk digayakan wanita berkulit cerah malah, wanita berkulit gelap juga berpeluang bergaya dengan busana Jil Sander. Buktinya, seorang model berkulit hitam kelihatan santai dan bersahaja dengan baju-T putih dan skirt labuh warna merah jambu terang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: